
BINTANGOR: Pendidikan berkualiti hanya dapat dicapai apabila seluruh warga sekolah berganding bahu dalam semangat kebersamaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata ia juga dapat dicapai dengan dedikasi yang tinggi.
“Hari ini merupakan hari penuh kenangan bagi semua warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung kerana majlis ini menjadi kemuncak usaha sekolah dalam menuai hasil yang unggul.
“Ia bukan sahaja mengiktiraf pencapaian pelajar, malah menjadi simbol penghargaan terhadap kesungguhan guru dan staf yang bekerja keras melahirkan pelajar berkualiti dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Apresiasi dan Anugerah Kecemerlangan SMK Kai Chung 2025 di dewan sekolah tersebut, baru-baru ini.
Tambahnya, ia turut melambangkan penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar atas prestasi cemerlang mereka serta menjadi sumber dorongan dan motivasi untuk terus mencapai kejayaan dalam semua bidang.
“Tahniah kepada semua penerima anugerah dan sijil kecemerlangan, termasuk guru dan staf sekolah yang memainkan peranan besar dalam menjayakan program pendidikan sepanjang tahun.

“Sebagai institusi pendidikan tersohor, sekolah ini telah mencipta pelbagai kejayaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, khususnya dalam bidang kokurikulum dan sukan,” katanya.
Katanya lagi, dalam bidang akademik, SMK Kai Chung terus unggul sebagai antara sekolah terbaik di Daerah Meradong, khususnya selepas memperoleh keputusan SPM 2024 yang memberangsangkan.
“Tidak mustahil sekolah ini akan terus melahirkan pelajar yang berketerampilan, bersahsiah terpuji serta gemilang dalam semua aspek.
“Teruslah melangkah ke hadapan dengan semangat, azam dan iltizam terbaik demi menggapai cita-cita,” katanya.
Kuong Hiing turut menyalurkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada SMK Kai Chung bagi melaksanakan aktiviti tahunan sekolah untuk 2026.
Turut hadir Pengetua SMK Kai Chung, Nguang Seng; Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad; Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Dato’ Thomas Ung Sing Ung; Pengerusi PIBG, Abdul Karim Abdul Rahman; Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar, Kapitan Kiu Chiong Chui; Pegawai Perhubungan Sekolah, Tan Juo Chi; dan Dermasiswa Tang Hing Kio, Michael Tang Tung Kin.
Oleh Earl Anek