
MARUDI: Pengerusi Persatuan Guru Besar Zon Baram Hilir, Mering Ajang berkata melalui sukan boleh memupuk disiplin, daya tahan mental yang kental dan semangat kerja berpasukan.
Beliau berharap agar semua alet yang terlibat dalam Kejohanan Olahraga, Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) 2026, Zon Baram Hilir yang diadakan di Mini Stadium Marudi hari ini dapat bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan menunjukkan mutu kesukanan yang tinggi.
Mering berkata, menang atau kalah adalah adat bertanding, namun pengalaman dan semangat juang itulah yang paling berharga.
Menurut beliau, kejohanan ini dianjurkan secara karnival dengan pelbagai pertandingan, termasuk sukan, aktiviti koakademik, dan permainan.
Katanya pada kejohanan olahraga ini, semua pemenang akan mewakili Zon Baram Hilir ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Rendah Daerah (MSSRD) yang akan datang.
Seramai 299 atlet daripada 15 sekolah rendah di Zon Baram Hilir menyertai kejohanan ini, yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil.
Oleh Jiku Jugoung