
BINTULU: Semangat hijrah menjadi asas penting dalam pembentukan dasar dan hala tuju pembangunan negeri, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, hijrah bukan sekadar peristiwa fizikal Rasulullah SAW tetapi satu transformasi besar yang membawa asas kepada tamadun Islam serta pembangunan masyarakat yang bertunjangkan iman dan perjuangan.
“Kita tidak sekadar berhijrah secara fizikal, tetapi lebih penting, kita berhijrah dalam minda, sikap dan budaya kerja.
“Kita menuju wilayah yang maju dan makmur melalui pendekatan ekonomi hijau, digitalisasi, keterangkuman sosial dan pembangunan yang lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada majlis sambutan Maal Hijrah 1447H Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha antara yang hadir pada majlis itu.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut menekankan bahawa pendekatan ekonomi Sarawak yang progresif berasaskan prinsip Islam telah mula menampakkan hasil yang memberangsangkan.
“Melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kita memacu sektor seperti hidrogen hijau, pertanian moden, pelaburan strategik dan teknologi digital.
“Ini bukan sahaja mencerminkan visi ekonomi yang progresif, tetapi turut seiring dengan prinsip Islam yang mengangkat kemajuan, daya cipta dan kelestarian,” katanya.
Menurut beliau lagi, kejayaan Sarawak menarik pelaburan asing dan mengekalkan kedudukan fiskal kukuh adalah hasil kepimpinan berintegriti dan dasar berpandangan jauh.
“Sarawak juga telah berjaya mencapai kedudukan fiskal yang kukuh dan mencatat pelaburan asing yang meningkat saban tahun.
“Ini hasil dasar yang berintegriti, telus dan berpandangan jauh yang merupakan satu ciri kepimpinan yang seharusnya diteladani umat Islam seluruhnya,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa agama tidak pernah dipisahkan daripada agenda pembangunan negeri.
“Kita tidak pernah memisahkan agama daripada pembangunan, malah menjadikan agama sebagai pemacu utama kemajuan,” ujarnya.
Majlis sambutan turut menyaksikan penyampaian anugerah Tokoh Maal Hijrah serta pelbagai pengisian rohani dan ilmiah melibatkan penyertaan masyarakat Islam dari seluruh Sarawak.
Oleh Carolyne Utih