
KUCHING: “Beri aku 10 pemuda, nescaya akan aku goncang dunia” – semangat itulah yang diterapkan dalam Program Membina Belia Pencetus Perubahan dan Revolusi Minda yang membuka tirainya di Hotel Samudra, di sini, hari ini.
Program dua hari anjuran Utusan Sarawak itu menghimpunkan seramai 42 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah, SMK Semop, SMK Padungan serta penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Pengarah Warta Niaga, Sharkawi Bohari dalam ucapannya menegaskan, potensi besar yang dimiliki golongan belia harus digilap kerana mereka bukan sahaja mampu menyumbang secara signifikan kepada masyarakat dan negara, malah berupaya mencetuskan perubahan yang menggegarkan dunia.
“Program ini diadakan bagi membekalkan kesedaran dan persiapan kepada belia agar dapat merealisasikan matlamat ulung, selain membuka ruang untuk mereka menimba pengalaman daripada para pensyarah jemputan,” katanya ketika berucap merasmikan program.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan belia, kerja berpasukan, ekonomi, politik dan peranan media sosial.
Antara pengisian menarik termasuk slot Suara Belia Suara Perubahan oleh Dr Noratikah Mohamad Ashari, Mengenal Potensi Diri oleh Dr Shantrol Abdullah, serta perbincangan mengenai peranan belia dalam politik oleh Dr Lucy Sebli.

Pada sebelah malam pula, peserta turut berpeluang mengikuti sesi Media Cetak, Media Sosial dan Tanggungjawab yang disampaikan oleh Kadir Dikoh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk ketua pengelola program, Reduan Serap, atas perancangan rapi, selain menyatakan penghargaan kepada Dato Sri Abdul Wahab Dolah atas idea, nasihat dan sumbangan yang menjayakan program tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat