
SIBU: Senator Robert Lau Hui Yew menegaskan bahawa semangat dan ketabahan menjadi faktor utama dalam memastikan Festival Filem WatchMoviesNot (WMNFF 2025) terus bertahan dan berkembang pada masa hadapan.
Menurut Lau, kejayaan festival yang kini memasuki edisi kelima itu adalah hasil komitmen penganjur dan sukarelawan yang tidak pernah berputus asa walaupun pada awalnya timbul keraguan sama ada Sibu mampu menganjurkan acara sebegini.
“Ketika saya mula melontarkan idea ini bertahun-tahun lalu, ada yang menganggap ia mustahil. Namun, sekumpulan sukarelawan sanggup mencabar diri dan hasilnya, hari ini festival ini sudah mencecah tahun kelima,” katanya ketika merasmikan festival di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) baru-baru ini.
Lau juga menegaskan bahawa inisiatif kebudayaan biasanya menghadapi cabaran besar untuk bertahan lama, justeru beliau menggesa penganjur agar terus komited dan berpegang pada tujuan asal festival.
“Selagi anda kekal jujur dan melaksanakannya dengan penuh semangat, saya akan terus memberi sokongan. Selebihnya kita serahkan kepada takdir,” ujarnya.

Beliau menambah, festival ini memberi manfaat besar kepada masyarakat tempatan dengan menyediakan platform kepada golongan muda menyalurkan idea dan bakat kreatif mereka.
“Filem adalah medium bercerita dan Sibu memiliki banyak cerita yang boleh diketengahkan oleh lebih ramai pencerita dan pembikin filem. Inilah yang mampu menjadikan Sibu lebih menonjol,” jelasnya.
Menurut Lau, walaupun festival filem adalah sesuatu yang biasa di banyak tempat, Sarawak masih belum mempunyai penganjuran festival filem yang konsisten.
“Sehingga kini, tiada pihak di Sarawak yang benar-benar menganjurkan festival filem secara berterusan. Untuk menjadikannya lestari dan berjaya, ia memerlukan lebih banyak usaha. Namun kita berada di landasan yang betul,” katanya.
Lau turut memuji perkembangan pendidikan di Sibu, khususnya dengan kemajuan Universiti Teknologi Sarawak sebagai bukti komitmen bandar ini terhadap ilmu dan peluang.
Beliau mengibaratkan perjalanan festival ini seperti pertumbuhan pokok yang memerlukan masa panjang untuk mencapai kejayaan bermakna.
“Untuk sesuatu yang benar-benar bermakna, ia mengambil masa 10 tahun untuk melihat hasilnya. Jika mahu mengubah masyarakat, ia memerlukan tiga generasi daripada datuk yang tiada pendidikan, kepada bapa bersekolah rendah, dan akhirnya anda, mahasiswa universiti,” katanya.
Festival WMNFF 2025 dianjurkan oleh Fakulti Alam Bina – Program Seni Bina dengan kerjasama Architecture UTS (AUTS) dan disokong oleh Lembaga Arkitek Malaysia Cawangan Sarawak (PAMSC).
Festival ini berlangsung sehingga 5 Oktober, bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Ia menampilkan pelbagai filem terpilih serta forum yang bertujuan mencetuskan idea baharu dan memberi inspirasi budaya kepada masyarakat Sibu.
Turut hadir Lu Yew King mewakili UTS dan kurator festival, Chris Ling.
Oleh Tarani Lanting