
KUALA LUMPUR: Pengambilan pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2 2026 boleh disemak bermula 5.00 petang hari ini.
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam kenyataan memaklumkan semakan boleh dibuat menerusi sistem ePLKN 3.0 https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form.
“Semua pelatih terpilih diwajibkan mengesahkan kehadiran menerusi sistem ePLKN 3.0 selewat-lewatnya pada 28 Februari bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran dan pentadbiran,” menurut kenyataan itu.
Bagi siri latihan berikutnya, JLKN memaklumkan pengumuman dibuat secara berperingkat dan bakal pelatih diminta sentiasa peka terhadap makluman di saluran rasmi jabatan untuk melakukan semakan dari semasa ke semasa.
“Kehadiran pelatih terpilih wajib dan kegagalan melapor diri tanpa alasan munasabah boleh dianggap sebagai ingkar arahan serta dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18 (1) Akta Latihan Khidmat Negara,” menurut kenyataan itu.
PLKN 3.0 Siri 2 2026 berlangsung dari 25 April hingga 8 Jun di dua kem Askar Wataniah (AW), iaitu Rejimen 515 (AW) Kuala Lumpur dan Rejimen 505 (AW) Pekan, Pahang. Sebanyak empat siri latihan PLKN 3.0 dijadualkan tahun ini.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Unit Pelatih, Sektor Latihan JLKN menerusi talian 03-4013 (sambungan 3612/3613/3614/3604/3603/3626) atau laman sesawang rasmi jabatan itu.
-Bernama