KUCHING: Polis Kuching merekodkan sejumlah RM1,157,541.32 daripada 131 kes penipuan melibatkan pinjaman tidak wujud antara 2021 hingga 22 Februari tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah dalam satu kenyataan hari ini berkata, modus operandi suspek ialah mengiklankan pinjaman tidak wujud melalui media cetak, media sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Mangsa akan menguruskan pinjaman dengan suspek hanya melalui WhatsApp atau melalui panggilan telefon dan kemudian diarahkan untuk membuat beberapa pembayaran yuran pemprosesan ke akaun keldai.
“Yuran yang dikutip adalah yuran cagaran, duti setem, insurans dan yuran guaman yang sepatutnya dibayar sebelum pinjaman “diluluskan” oleh penipu (suspek). Setelah semua bayaran dibayar, mangsa akan disekat dan tidak dapat menghubungi suspek,” jelasnya.
Justeru, bagi membendung penularan modus operandi ini, Ahsmon menggesa orang ramai supaya tingkatkan kewaspadaan dan peka dengan persekitaran sebelum bertindak untuk menghantar wang ke akaun pihak ketiga.
Tambah beliau lagi, orang ramai harus memanfaatkan saluran yang boleh membantu supaya tidak menjadi mangsa penipuan modus operandi dengan menyemak status akaun bank terlebih dahulu melalui https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan transaksi.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional, 997 atau dengan menghantar mesej menerusi WhatsApp kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 013-2111222.
Oleh Connie Chieng