KUALA LUMPUR: Seluruh negara, kecuali Sarawak, akan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Januari ini hingga 4 Februari depan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah terdapat peningkatan taburan kes positif Covid-19 dalam komuniti di negeri terbabit.
“Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan) kerajaan bersetuju supaya PKP dilaksanakan di negeri-negeri tersebut bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP, di sini semalam.
Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari.
Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala di Perlis dan Sarawak pula diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang tempoh tersebut.
Pada 16 Januari lalu, PKP dilaksanakan di Kelantan hingga 26 Januari ini.
Berhubung pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) semasa PKP di negeri terbabit, beliau berkata SOP adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, antaranya penduduk tidak dibenarkan keluar kecuali untuk membeli barangan keperluan serta pergerakan keluar masuk bagi semua kawasan PKP hanya boleh dilakukan dengan kebenaran polis.
Bagaimanapun katanya restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, medan selera, pusat penjaja, kiosk, gerai makan tepi jalan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi dan 8.00 malam.
Beliau berkata penjualan makanan hanya secara berbungkus untuk dibawa pulang, pandu lalu atau melalui perkhidmatan penghantaran mulai 6.00 pagi hingga 8.00 malam, manakala hospital dan klinik dibenar beroperasi 24 jam.
“Kedai farmasi dan kedai keperluan harian pula boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam, stesen minyak boleh beroperasi dari 6.00 pagi hingga 10.00 malam kecuali di lebuh raya selama 24 jam,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKP Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court, Bentong, Pahang akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, susulan trend penurunan kes Covid-19 yang dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan.
Turut ditamatkan esok ialah PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak di Muar, Johor, kecuali bagi blok petempatan di blok C dan blok sekolah yang dilanjutkan hingga 3 Februari depan berikutan terdapat 85 baki kes aktif di blok berkenaan. – Bernama