MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ada memberi bayangan perkara yang bakal menjadi larangan dalam RUU itu nanti.
SETELAH kejayaan memperkenalkan undang-undang bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen, satu lagi isu penting perlu diselesaikan sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Isu itu ialah berkaitan dana atau sumbangan politik yang dilihat banyak menyumbang kepada amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan selama ini.
Kesannya bukan semasa pilihan raya tetapi selepas sesebuah parti atau seseorang wakil rakyat menang dalam pilihan raya.
Ini kerana ada taukeh, syarikat tertentu dan individu yang kaya raya sanggup membiayai calon dan parti politik tertentu sepanjang kempen pilihan raya, dengan harapan untuk mendapat projek lebih besar selepas calon atau parti yang ditajanya menang atau kepentingan lain termasuk melobi untuk jawatan tertentu.
“Hari ini, aku tolong engkau, esok engkau pula tolong aku”, ungkapan yang biasa kita dengar. Malah, ada wakil rakyat sebelum ini yang memberi projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) secara terus, bukan tender terbuka kepada kontraktor tertentu kerana ‘terhutang budi’ membantunya membiayai kempen pilihan raya sebelum ini.
Mungkin semua ini akan berlalu dan tidak dibenarkan lagi apabila Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini?
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ada memberi bayangan perkara yang bakal menjadi larangan dalam RUU itu nanti.
Antaranya ialah parti politik tidak boleh menerima dana daripada pihak yang mempunyai kaitan dengan kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Malah parti politik juga tidak akan dibenarkan mendapat sumbangan dari luar negara untuk kelangsungan parti masing-masing.
Menurut Wan Junaidi, institusi yang menerima sumbangan daripada kerajaan, juga tak boleh bagi sumbangan untuk dana politik. Satu lagi, pihak yang dapat lesen atau geran daripada kerajaan, juga tak boleh kerana ada konflik kepentingan.
“Satu lagi yang dibincangkan adalah syarikat yang mendapat kontrak kerajaan, jangan nanti dia jumpa menteri beritahu pihak dia ada sumbangkan dalam dana politik, jadi kena bagi kontrak kepada syarikat itu. Semua perkara ini ada dibincangkan, kerana ia babitkan intergriti. Bagaimanapun secara keseluruhannya, ia kini di landasan yang tepat,” katanya.
Diharap RUU Sumbangan Politik apabila dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober nanti, diluluskan dengan sebulat suara oleh Ahli Parlimen, seperti juga pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti ketika dibentangkan pada 28 Julai lalu.
Ini juga bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik.
Sudah menjadi rahsia terbuka ramai taukeh besar menaja calon atau parti tertentu dalam setiap pilihan raya di negara ini. Malah ada yang sanggup menaja calon lawan atau parti lawan secara sembunyi dengan harapan mendapatkan habuan apabila menang.
Bagaimanapun, bagi sesetengah ahli politik, adalah tidak adil untuk parti jika ada mana-mana pihak menyumbang dengan ikhlas dikira sebagai rasuah.
Misalnya, kontraktor yang mendapat tender secara terbuka (bukan rundingan terus) di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), pasti mahu menyumbang sedikit sebanyak rezekinya secara ikhlas kepada wakil rakyat di kawasan itu bagi membiayai sedikit kewangan untuk kempen.
Semua ini perlu diperhalusi sebelum RUU Sumbangan Politik dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober nanti.
Selama ini isu berkaitan dengan dana yang diterima oleh kebanyakan parti politik untuk berhadapan pilihan raya menelan belanja yang besar mencecah jutaan ringgit. Ini bukan rahsia lagi.
Sebenarnya, sejak zaman Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, sudah dirancang isu mahu memperkenalkan undang-undang sumbangan politik. Namun, pembangkang ketika itu dikatakan membantah kerana khuatir pemberi dana politik disenarai hitam daripada mendapat projek kerajaan.
Undang-undang itu perlu, bagi mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri mengakui Akta Pembiayaan Dana Politik dapat dijadikan panduan kepada agensi itu untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.
Mungkin sukar untuk SPRM membezakan pemberian dana politik dengan rasuah. Perkara ini juga perlu definisi tepat.
Apabila RUU Sumbangan Politik dijadikan undang-undang, maka apa-apa tindakan termasuk derma atau sumbangan orang ramai, persendirian mahupun syarikat kepada pemimpin politik berdasarkan syarat tertentu adalah ‘dihalalkan’ seperti di Amerika Syarikat, sekali gus ia tidak boleh lagi dikaitkan dengan rasuah.
Di Amerika Syarikat, pembiayaan dana politik dibenar untuk diberikan kepada parti tertentu dengan mengisytiharkan pemberi dana berkenaan. Ia juga mempunyai sistem lobi yang mana duit dibayar kepada orang tertentu sama ada yang mewalili parti Demokrat atau Republican.
Di Jerman dana awam atau wang kerajaan diperuntukkan khusus untuk parti-parti politik. Ia dilaksanakan melalui satu peraturan yang dimasukkan dalam Akta Parti Politik Jerman.
Pemberian peruntukan khusus ini dibuat berasaskan kepada kedudukan dan sokongan sesebuah parti itu dalam masyarakat. Jika parti itu besar dan berpengaruh, maka ia berhak mendapat peruntukan yang lebih besar.
Negara lain yang dianggap mempunyai pengalaman terbaik dan unik dalam reformasi perundangan serta penguatkuasaan peraturan pembiayaan politik adalah
Kanada, Korea Selatan, India, Mexico dan Taiwan.
Apa pun, tidak salah untuk meniru kaedah diguna pakai negara lain tetapi disesuaikan dengan keadaan setempat jika dirasakan baik.
Oleh itu, peraturan baharu itu nanti perlu jelas dan terperinci. Paling penting libat urus bersama pemegang taruh seperti mana dilakukan sebelum pembentangan RUU berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti tempoh hari.
Ketika itu perbincangan turut diadakan bersama Ahli Parlimen pembangkang untuk memberi input. Ini menyebabkan apabila dibentang di Dewan Rakyat, tidak timbul lagi isu menolak, semua yang hadir menyokong.
Pastikan undang-undang itu nanti tiada ruang untuk dimanipulasi. Maklumlah, ahli politik kadang-kala suka melakukan sesuatu dengan alasan ‘tidak disebut secara khusus’ dalam undang-undang untuk ‘menghalalkan’ aktiviti mereka.
Bentuk dana atau sumbangan politik perlu diperhalusi seperti derma atau apa-apa bentuk pendanaan dan pembiayaan yang mesti dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.
RUU itu penting dan perlu sebelum PRU-15 bagi mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik.
Persoalannya sekarang ialah bentuk hukuman dan denda bakal diadakan dibawah undang-undang dana politik itu nanti setelah dilulus dan diwartakan.
Siapa patut dihukum, hanya penerima dana atau penderma sekali? Atau kedua-duanya?
Persoalan seterusnya ialah apa kesan hukuman itu nanti, sama ada kemenangan calon yang terbukti melanggar peraturan itu dibatalkan?
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak