
KUALA LUMPUR: Selepas 35 tahun berbakti dalam dunia kewartawanan, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Azlina Aziz diraikan pada majlis persaraan beliau hari ini.
Beliau akan bersara secara rasmi pada Isnin ini, 12 Januari 2026, sekali gus mewariskan legasi pengalaman, kepimpinan dan sumbangan profesional sepanjang perkhidmatannya di agensi berita nasional itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menyifatkan Azlina sebagai seorang pemimpin yang dibentuk daripada pengalaman lapangan bermula sebagai wartawan, sebelum menggalas tanggungjawab dalam pengurusan tertinggi agensi berita nasional itu.
Menurut Nur-ul Afida, pelantikan Azlina sebagai Timbalan Ketua Pengarang PBE dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau yang merangkumi pelbagai peranan, daripada wartawan, editor sehingga penyunting.
“Pada pandangan saya, beliau calon yang tepat untuk mengisi kekosongan jawatan kepimpinan di PBE. Pengalaman beliau dalam bidang ekonomi sangat mendalam.
“Beliau merupakan junior saya. Ketika beliau menjalani latihan praktikal, saya antara senior yang pernah membimbingnya,” katanya pada majlis persaraan itu.
Menurutnya hubungan profesional mereka kekal rapat walaupun masing-masing ditempatkan di meja berbeza sepanjang perkhidmatan beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj berkata Azlina merupakan seorang pegawai yang sangat berpengalaman dalam PBE, ceria sepanjang masa dan aktif dalam sukan, terutama boling.
“Ramai wartawan generasi baharu dan kakitangan lain menerima tunjuk ajar serta bimbingan daripada beliau,” katanya.
Arul Rajoo berkata Azlina turut memainkan peranan aktif pada 2025, khususnya dalam liputan dan penglibatan Bernama berkaitan acara ASEAN, yang menjadi antara tumpuan utama tahun lepas.
Sementara itu, Azlina dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Bernama kerana memberi peluang kepadanya menyandang jawatan di peringkat pengurusan tertinggi.
“Jika mengikut perancangan awal, mungkin tugas saya hanya berakhir sebagai Ketua Meja Penyunting Bahasa Melayu PBE. Ini adalah peluang dan juga tanggungjawab yang diberikan kepada saya dan saya terima dengan hati yang terbuka,” katanya.

Beliau menyertai Bernama pada 1991 selepas menjalani latihan praktikal selama enam bulan sebelum diterima bekerja sepenuh masa. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan PBE dari 1991 hingga 2000, penyunting Bahasa Melayu PBE dari 2000 hingga 2015 serta bertugas di perkhidmatan berita dari 2015 hingga 2020.
Selepas itu, beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Meja Penyunting dari 2020 hingga 2023, Eksekutif Editorial PBE dari 2023 hingga 2024, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang PBE pada Mac 2024 sehingga bersara.
“Saya juga dapat mengenali ramai warga Bernama melalui Kelab Boling. Saya akan merindui tempat ini. Saya gembira diberikan peluang untuk berkhidmat di sini dan menganggap Bernama sebagai rumah kedua saya,” katanya.- Bernama