
PUTRAJAYA: Selepas enam tahun berdepan proses perundangan, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pengalaman itu mengukuhkan keyakinannya bahawa keadilan dan kebenaran akhirnya ditegakkan.
Syed Saddiq, 33, yang melakukan sujud syukur bersama keluarganya sejurus selepas mahkamah membuat keputusan membebaskannya daripada semua pertuduhan berkata keputusan pada hari ini membawa kesedaran dan keinsafan kepada beliau untuk terus mempertahankan kebebasan institusi keadilan negara yang menjadi asas kekuatan Malaysia.
“Saya pegang kepada prinsip berani kerana benar, pegangan itu membawa kita semua kepada hari ini. Enam tahun sangat lama, bukan setakat membawa kesan ke atas diri saya, tetapi khusus ke atas ibu bapa, keluarga, kawan-kawan, sahabat dan dunia politik,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman di sini.
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan pembebasan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Syed Saddiq berkata pengalamannya berdepan dengan pertuduhan jenayah selama enam tahun adalah satu pengajaran yang tidak ternilai baginya.
“Walaupun kita berdepan dengan keadaan seolah-olah tiada harapan atau (tiada) sinar di penghujung terowong, kita tidak sepatutnya menggadaikan prinsip, integriti atau maruah demi jalan keluar mudah yang mana pada akhirnya, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada tuhan dan juga kepada institusi yang menjadikan negara ini sebuah negara hebat,” katanya.
Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata beliau mahu mengambil sedikit masa daripada memikirkan rancangan politik bagi memberi tumpuan kepada keluarga dan menguruskan kehidupan peribadinya.
“Saya tidak pernah meninggalkan (parti) MUDA tetapi berhubung masa depan, rancangan politik dan sebagainya, saya rasa saya akan mengambil sedikit masa. Hari ini saya ingin menghabiskan banyak masa bersama keluarga dan ingin menyelesaikan kehidupan peribadi saya.
“Saya ada (persidangan) Parlimen, saya akan terus ke Parlimen selepas ini, tetapi memang saya ingin buat (majlis) kesyukuran, khususnya bagi warga Muar,” katanya dan menambah ibu bapanya telah memberi ‘lampu hijau’ untuk meneruskan perancangan perkahwinan.
Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq berkata beliau berterima kasih kepada pasukan undang-undang yang mengendalikan kes tersebut.
“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada panel hakim yang telah memberikan keputusan yang baik dan kami juga berterima kasih kepada YB (Syed Saddiq) dan keluarga kerana mempercayai kami,” kata peguam itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi berkata pihak pendakwaan menerima apa jua keputusan yang ditetapkan mahkamah.
“Pihak pendakwaan masih belum memutuskan sama ada mahu memfailkan semakan terhadap keputusan hari ini atau tidak kerana ia masih terlalu awal. Kita tunggu apa keputusan Peguam Negara,” katanya. – Bernama



