
VALENCIA, Sepanyol: Ratusan keping foto yang hampir musnah akibat banjir besar tahun lalu di Sepanyol kini sedang dipulihkan di makmal, Universiti Politeknik Valencia.
Sukarelawan termasuk pelajar memakai kot makmal dan topeng bagi melindungi diri daripada kulat dan kotoran, bagi membersih dan memulihkan gambar-gambar yang rosak akibat lumpur dan air banjir.
Banjir yang berlaku pada 29 Oktober 2024 di kawasan Mediterranean Valencia menyebabkan lebih 200 orang maut dan memusnahkan ribuan rumah. Dalam usaha pemulihan selepas bencana, sukarelawan mengumpul album foto yang hampir dibuang untuk diselamatkan.

Projek ‘Salvem les fotos’ (Mari Selamatkan Foto) yang diketuai oleh Profesor Esther Nebot kini telah memulihkan sekitar 75 peratus daripada 340,000 gambar yang diterima.
Salah seorang pelajar, Ruth Acuna berkata kerja memulihkan gambar ini sangat bermakna kerana ia menyelamatkan kenangan keluarga yang telah hilang banyak.
“Kadang-kadang nampak mustahil, tapi bila gambar itu pulih dengan baik, rasa sangat puas,” katanya.
Proses pemulihan termasuk membersih, mengering dan memulihkan gambar serta mendigitalkan untuk dipulangkan kembali kepada pemiliknya dalam bentuk yang hampir sama dengan album asal.
Ketika gambar-gambar dipulangkan, ramai keluarga yang kehilangan rumah menangis terharu kerana dapat kembali melihat kenangan mereka.
Projek ini bukan sahaja memulihkan gambar, malah turut memulihkan harapan dan emosi penduduk yang terkesan dengan bencana tersebut.
-AFP