

KUALA LUMPUR: Biarpun dikenali sebagai pelakon yang agak selektif dalam pemilihan watak khususnya yang menyentuh berkenaan agama, pelakon veteran Hafidzuddin Fazil tidak pernah melihat pendiriannya itu sebagai faktor untuk diketepikan dalam industri hiburan tanah air.
Sebaliknya pelakon otai berusia 67 tahun ini masih kekal menjadi pilihan pengarah serta penerbit tempatan untuk menghidupkan pelbagai watak di layar kaca meskipun berdepan saingan sengit industri, bersandarkan pengalamannya hampir tiga dekad di pentas seni lakonan negara.
Tidak gentar menolak karakter yang berisiko menggugat maruah atau menyeleweng daripada nilai Islam, aktor kelahiran Kuantan, Pahang dan pernah mewarnai filem Duyung itu percaya bahawa tanggungjawab seorang pelakon Muslim ialah menjaga batas serta imej agama dianuti.
“Kadang-kadang saya terpaksa menolak watak kerana tidak sesuai. Contohnya, saya pernah ditawarkan watak sebagai seorang Yahudi dalam sebuah pementasan. Bila saya tengok ‘Oh, watak Yahudi’, saya ucap terima kasih dan minta mereka cari orang lain.
“Kalau ada lakonan yang memerlukan saya berpakaian sebagai wanita pun saya tolak kerana itu bukan sahaja bercanggah dengan prinsip saya tetapi juga agama. Namun, kalau watak jahat atau antagonis, saya terima kerana itu sebahagian daripada seni lakonan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Menceritakan lebih lanjut akan pendiriannya itu, Hafidzuddin berkata setiap naskhah yang diterimanya bukan sahaja dinilai dari segi jalan cerita, akan tetapi turut dilihat pada mesej tersurat dan tersirat yang ingin disampaikan kepada penonton.
Mengenai perkembangan terkini, datuk kepada 14 cucu itu baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Malam Tiga Syukur terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Pekan, Pahang, yang dijangka ditayangkan tahun depan.
Pelakon filem Cinta Kolestrol itu turut berpeluang terlibat dalam drama bersiri Taiwan Mad Doctor 2, dan menganggap pengalaman tersebut sebagai pencapaian tersendiri dalam usianya kini.
“Penggambaran di sana (Taiwan) hanya sehari, kemudian mungkin akan disambung di sini. Belum ditetapkan lagi… Selagi kesihatan mengizinkan dan watak itu sesuai, saya akan terus berlakon. Saya masih boleh bertahan lagi, alhamdulillah,” katanya.- Bernama