
SELANGAU: Penduduk Selangau dijangka menikmati lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan apabila beberapa pembangunan baharu yang digerakkan kerajaan serta sektor swasta mula mengambil bentuk di pekan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, pembukaan hotel, pasar raya dan cadangan pembangunan baharu oleh Pasaraya Le Papa menjadi petunjuk bahawa Selangau kini berada di landasan untuk berkembang sebagai sebuah pekan yang lebih moden dan berdaya saing.
“Saya dimaklumkan bahawa Pasaraya Le Papa merancang untuk membangunkan sebuah medan selera, pasar basah dan dewan serbaguna yang akan dijadikan pusat seni serta kebudayaan di Selangau.

“Jika semua perancangan ini dapat direalisasikan, saya yakin ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu di Selangau,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kemerdekaan 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sibu di sini, hari ini.
Menurutnya, kemudahan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah membuka lebih banyak peluang kepada peniaga tempatan, usahawan kecil, golongan belia serta penggiat seni dan budaya untuk berkembang.
Gira berkata, usaha membangunkan Selangau turut disokong oleh pelaksanaan pelbagai projek kerajaan di kawasan Tamin sejak 2016, meliputi bekalan air, jalan raya, pendidikan, kemudahan sukan dan infrastruktur asas.
Katanya, projek menaik taraf Loji Rawatan Air Selangau dan Loji Air Stapang antara yang dinantikan kerana mampu membantu menyelesaikan isu bekalan air di kawasan berkenaan.
“Saya akan terus bekerjasama dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Water dan agensi berkaitan bagi memastikan penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai Program Semarak Kemerdekaan, katanya, program itu bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu kebangsaan, sebaliknya menjadi wadah menyemai semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan dan mengingatkan rakyat tentang tanggungjawab bersama dalam membangunkan negeri serta negara.
“Di Sarawak, kita amat bertuah kerana rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan budaya hidup dalam suasana aman dan harmoni. Semangat inilah yang perlu terus dipelihara agar pembangunan yang kita kecapi hari ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Turut hadir, Pegawai UKAS Bahagian Sibu mewakili Pengarah UKAS, Jelani Ajang dan Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan.
Oleh Tarani Lanting