
PADA majlis kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Kuching pada Mei tahun lalu, dipaparkan satu tayangan video bertajuk ‘Dakwat Sebuah Hidup’ yang memapar kisah kehidupan seorang wartawan dan turut diselitkan sejarah ringkas penubuhan akhbar Sinar Sarawak dan Utusan Sarawak.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Akhbar Utusan Sarawak diterbitkan pada 16 Januari 1949 oleh wartawan dan pejuang, Abang Ikhwan Zainie.
Tan Sri Abang Ikhwan kemudian aktif dalam politik dan pernah memangku jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Tokoh disegani ini meninggal dunia pada 1981, pada usia 66 tahun.
Dalam tayangan video berdurasi kira-kira empat minit itu, disebut bahawa pejuang kemerdekaan Sarawak, Rosli Dhoby, adalah penulis yang menggunakan nama samaran Lidros dalam Utusan Sarawak.
Rosli Dhoby pernah menggegarkan dunia kolonial British dengan pembunuhan gabenor negara penjajah itu, Duncan Stewart pada 1949 di Sibu demi kemerdekaan Sarawak.
Malah ketika peristiswa itu, Rosli menyamar sebagai seorang jurugambar untuk ‘merakam’ lawatan Gabenor Duncan Stewart, sebelum menikamnya dengan pisau pada 3 Disember 1949.
Menurut Wikipedia pula Rosli pernah menulis puisi bertajuk ‘Panggilan Mu Yang Suchi’ dalam akhbar Utusan Sarawak atas nama Lidros.
Penggunaan nama samaran berleluasa pada masa itu sejak pihak berkuasa Kolonial British bersungguh-sungguh memantau sebarang percubaan untuk menyebarkan kata-kata buruk terhadap mereka.
Menurut Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Suffian Mansor, Utusan Sarawak dahulunya ialah sebuah akhbar perjuangan.
“Penelitian sejarah menunjukkan bahawa Utusan Sarawak mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah Sarawak.
Akhbar ini telah muncul dan diterbitkan pada zaman Sarawak diserahkan kepada British.
Kumpulan yang menentang penyerahan ini telah berusaha untuk menyampaikan perjuangannya melalui mata pena,” katanya.
Beliau berkata kelantangan Utusan Sarawak menentang penyerahan Sarawak itu menyebabkan kerajaan British menerbitkan akhbar kerajaan, iaitu Pedoman Ra’ayat.
Akhbar kerajaan ini cuba mematahkan hujah-hujah Utusan Sarawak dalam isu penyerahan.
Namun, hujah Pedoman Ra’ayat mampu dipatah oleh Utusan Sarawak dengan baik. Pedoman Ra’ayat cuba mempertahankan penyerahan Sarawak kepada British.
Malah kata Dr Suffian, Utusan Sarawak juga menyokong penubuhan parti politik yang membela nasib penduduk Bumiputera.
Apabila rancangan penubuhan Malaysia diumumkan, Utusan Sarawak juga memainkan peranan penting memberi sokongan kerana ia mampu meyelesaikan masalah keselamatan di Sarawak, terutamanya kegiatan komunis.
“Perjuangan akhbar ini sepanjang awal penubuhannya adalah untuk melihat Sarawak dalam keadaan bebas, aman, makmur dan sejahtera sehingga penerbitannya tamat pada 1971.
Namun, akhbar ini dihidupkan semula pada 1990-an dan menjadi akhbar berbahasa Melayu berpengaruh di Sarawak pada hari ini,” katanya yang juga anak Sarawak.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah sebenar penubuhan Utusan Sarawak yang terus popular hari ini.
Bayangkan Rosli Dhoby pernah menulis untuk Utusan Sarawak, atas nama Lidros.
Sebenarnya, akhbar Melayu pertama ialah Fajar Sarawak, diterbitkan pada 1930 oleh Muhamad Rakawi Yusuf.
Sinar Sarawak pula diterbitkan pada 1975, sebagai lidah rasmi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Rahman Yaakub.
Penerbitan Jiwa Bakti pada 1990-an adalah versi kepada Sinar Sarawak yang sudah terkubur.
Jiwa Bakti kini diterbitkan setiap bulan, selain menggunakan Facebooknya sendiri mulai Mac 2015.
Dalam kepesatan dunia IT sekarang, industri media seluruh dunia berdepan kekangan.
Ada yang ditutup sepenuhnya, ada yang menghentikan versi cetakan dan beroperasi secara online sepenuhnya.
Contohnya, akhbar Malay Mail di Kuala Lumpur yang begitu popular seketika dahulu menghentikan penerbitan selepas 122 tahun kewujudannya pada 1 Disember 2018.
Namun akhbar berbahasa Inggeris itu hanya dapat dibaca menerusi portal atas talian sekarang.
Akhbar The Edge Financial Daily, juga di Lembah Klang memberhentikan edisi cetakannya selepas beroperasi selama 13 tahun pada April 2020, dan menumpukan sepenuhnya kepada edisi digital.
Pada 2022 akhbar Utusan Melayu versi Jawi ditutup.
Akhbar nasional The Star, Utusan Malaysia, Kumpulan Media Prima merangkumi akhbar Berita Harian, NST dan Metro selain TV3 sebelum pandemik pernah mengurangkan jumlah kakitangan termasuk melalui Skim Pemisahan Sukarela Secara Bersama (MSS).
Semuanya kerana tekanan kewangan ketika industri media berdepan saingan media sosial dan perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Pendapatan melalui iklan di media cetak menurun secara drastik, sekali gus menjejaskan edaran naskah akhbar di pasaran.
Ini berlaku di seluruh dunia. Kumpulan Media Australia, News Corp, pada 2020 mengumumkan ia akan berhenti percetakan sekitar 60 akhbar serantau, ketika industri persuratkhabaran menghadapi tamparan hebat akibat penularan Covid-19.
Akhbar harian Thailand ‘The Nation’ menerbitkan edisi cetakan terakhirnya pada 2019 selepas 48 tahun akhbar itu berada di pasaran.
Akhbar nasional tertua di dunia ‘Wiener Zeitung’ mencetak edisi harian terakhirnya pada 2023 iaitu 320 tahun selepas cetakan pertama diterbitkan pada 8 Ogos 1703.
The Guardian melaporkan, Wiener Zeitung, akhbar harian yang berpangkalan di Vienna, tidak akan lagi mencetak edisi harian selepas perubahan undang-undang kerajaan yang bermakna ia tidak lagi menguntungkan sebagai produk cetakan.
Sementara itu, akhbar Utusan Sarawak dan Mingguan Sarawak juga akan memberhentikan penerbitan cetakan (printed version) mulai esok, Jumaat 28 Feb 2025.

Mulai Sabtu 1 Mac 2025, Utusan Sarawak akan menjalankan operasi pemberitaan dalam talian sepenuhnya iaitu versi web, App’s Utusan Sarawak dan Facebook Utusan Sarawak.
Hakikatnya, dunia hari ini hampir segala-galanya dikuasai paparan secara digital, online dan sebagainya.
Kira-kira 20 tahun lalu, orang ramai yang bersarapan pagi di kedai kopi sambil membaca akhbar cetak, hari ini hampir tiada. Sebaliknya semua ‘melekat’ melihat dan membaca melalui telefon bimbit.
Oleh itu, Utusan Sarawak juga mengikut trend semasa dengan menggandakan liputan melalui online.
Utusan Sarawak melalui platform media sosialnya, FB Utusan Sarawak pula adalah yang pertama di Malaysia menggunakan pembaca berita buletin malam menggunaan janaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Selamat tinggal versi cetakan Utusan Sarawak dan Mingguan Sarawak.
Oleh Kadir Dikoh
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.