KEM Sarawak United FC tiba-tiba ‘panas’ apabila kes yang melibatkan pemain import, Sandro Da Silva yang mendakwa gajinya tertunggak terus menjadi perhatian peminat bola sepak di negeri ini.
Dengan beberapa kenyataan yang telah dikeluarkan antara kedua-dua pihak – Sandro dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), ternyata kes berkenaan semakin serius kebelakangan ini.
Minggu lalu, menerusi kenyataan Presiden FAS, Datuk Posa Majais bahawa Sarawak United akan melepaskan Sandro secara percuma selepas pihak pengurusan kecewa dengan tindakan pemain dari Brazil itu.
Tegasnya, tindakan Sandro yang mewar-warkan isu tunggakan gaji dianggap tidak wajar dan pihaknya bersedia untuk berpisah dengan pemain itu.
“Kenapa Sandro perlu (war-warkan) masalah gaji sedangkan hanya tertunggaknya sebulan setengah. Itu pun nak keluar di berita dunia, bukannya dua atau tiga bulan pun.
“Boleh pastikan dengan pemain-pemain lain, gaji yang tertunggak ialah sejak April lalu dan bulan ini,” katanya menurut laporan Stadium Astro tempoh hari.
Sebelum ini, Sandro Da Silva mendakwa tidak menerima gaji penuh sejak Januari lalu apabila hanya menerima 70 peratus gaji dua bulan pertama iaitu pada Januari dan Februari sebelum langsung tidak dibayar apa-apa untuk bulan berikutnya.
Terkilan dengan tindakan Sandro, Posa sedia melepaskan pemain itu secara percuma tanpa sebarang yuran perpindahan pada jendela perpindahan kedua musim ini.
“Terserah kepada jurulatih kerana kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok muka dia lagi. Kalau hendak kekal, dia perlu tunjukkan prestasi baik.
“Kalau betul kelab luar nak ambilnya, saya beri percuma sahaja cuma bayar gaji sebulannya yang tertunggak. Soal yuran perpindahan saya sedekahkan sahaja,” tambahnya.
Katanya lagi, Sarawak United FC kini sedang menguruskan pembayaran baki gaji pemain-pemain yang terlibat.
“Urusan penyelesaian pembayaran dilakukan secar terus dengan para pemain dan tidak melibatkan pihak ketiga.
“Kita juga belum menerima apa-apa surat menyurat mahupun dihubungi mana-mana wakil pemain.
“Dan kita perlu menghormati terma-terma kontrak bersama pemain, maka mana-mana wakil pemain harus juga berbuat demikian dalam apa-apa urusan berkenaan pemain Sarawak United FC,” ujarnya.
Sementara itu, memetik laporan Harian Metro beberapa hari lalu menyatakan bahawa Liga Malaysia merupakan juara Asia dan naib juara dunia kes tunggakan gaji sejak beberapa tahun lalu.
Situasi terbabit sebenarnya menggambarkan keadaan tunggakan gaji dalam kalangan pemain bola sepak di negara ini cukup parah sehingga sukar untuk dirawati.
Greece negara paling bermasalah dengan kes tunggakan gaji sebanyak 291 kes yang sudah diluluskan oleh badan bola sepak dunia itu, manakala Malaysia kedua, 147 kes.
Negara ketiga yang mencatatkan kes tertinggi Turki dengan 138 kes diikuti Uruguay (76), Russia (69), Romania (65) dan Portugal (48).
Malah, di Asia juga menyaksikan Liga M di tangga teratas membabitkan kes tunggakan gaji dengan Iran dan India masing-masing di belakang mencatatkan 17 dan 15 kes.
Justeru, adalah diharapkan agar kes sedemikian tidak berulang lagi kerana ia bakal menjejaskan nama baik dan persiapan pasukan pada masa akan datang.
Kepada Sandro…selamat tinggal diucapkan jika benar tiada lagi jodoh bersama Sarawak United FC selepas ini bagi mengharungi ‘sisa-sisa’ saingan pusingan kedua Liga Premier musim 2021.