TAHUN 2025 telah melabuhkan tirainya, dan kini kita melangkah ke tahun baharu, Januari 2026.
Kebanyakan daripada kita mungkin sedang sibuk menilai pencapaian sasaran sepanjang 2025 dan pada masa sama menyusun azam serta perancangan baharu untuk 2026.
Saya pula mengambil kesempatan ini untuk berkongsi satu rencana yang cuba menilai apakah bencana iklim yang telah berlaku sepanjang 2025, serta apakah kemungkinan yang boleh kita jangkakan pada 2026.
Tahun 2024 telah direkodkan sebagai tahun terpanas dalam sejarah pemerhatian moden, dengan suhu purata global meningkat sekitar 1.55°C berbanding paras pra-industri.

Lebih signifikan, ini merupakan kali pertama peningkatan suhu purata global melepasi ambang 1.5°C, sasaran utama yang digariskan dalam Perjanjian Paris.
Rekod suhu luar biasa pada 2024 turut dipengaruhi oleh fenomena El Niño 2023/2024, yang sememangnya diketahui meningkatkan suhu global secara semula jadi.
Sebaliknya, fenomena La Niña lazimnya memberi kesan penyejukan kecil terhadap suhu global. Justeru, pada awalnya terdapat jangkaan bahawa 2025 tidak akan mengatasi 2024 dari segi rekod kepanasan.
Namun, menurut laporan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), 2025 tetap dijangka berada dalam kelompok tiga tahun terpanas pernah direkodkan.
Setakat ini, tiga tahun terpanas ialah 2024 (1.55°C), 2023 (1.45°C) dan 2022 (1.15°C). Ini bermakna kedudukan akhir bagi tiga tahun terpanas mungkin menjadi sama ada 2024–2025–2023 atau 2024–2023–2025, bergantung kepada kedudukan muktamad 2025.
Pengesahan rasmi dijangka diumumkan oleh badan berautoriti dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Walaupun 2025 berada dalam fasa La Niña, suhu global terus meningkat saban tahun akibat pemanasan global yang didorong oleh peningkatan kepekatan gas-gas rumah hijau.
Menurut laporan Panel Antara-Kerajaan mengenai PerubahanIklim (IPCC), purata peningkatan suhu global sejak 1971 hingga 2020 adalah sekitar 0.2°C setiap dekad.
IPCC juga menegaskan bahawa kadar peningkatan suhu global pada masa kini tidak pernah berlaku sekurang-kurangnya dalam tempoh 2,000 tahun.
Begitu juga dengan kenaikan paras laut global, yang kini merupakan yang terpantas sekurang-kurangnya sejak 3,000 tahun lalu.
Luas ais laut Artik berada pada tahap terendah sekurang-kurangnya dalam tempoh 1,000 tahun, manakala pengunduran glasier adalah yang paling ketara dalam sekurang-kurangnya 2,000 tahun.

Perubahan drastik ini berpunca daripada peningkatan mendadak kepekatan gas-gas rumah hijau sejak bermulanya era perindustrian di Eropah pada awal abad ke-20.
Kepekatan karbon dioksida (CO₂) kini telah melepasi 420 bahagian per sejuta (ppm), jauh lebih tinggi berbanding sekitar 280 ppm pada era pra-industri.
Malah, paras 420 ppm ini berada tersasar jauh di luar julat variasi semula jadi antara 180–300 ppm yang direkodkan sepanjang sejuta tahun lalu berdasarkan analisis teras ais Antartika, seperti dilaporkan oleh IPCC.
Laporan IPCC juga menunjukkan bahawa model-model iklim tidak dapat mensimulasikan peningkatan suhu global sejak 1970-an jika hanya mengambil kira faktor semula jadi seperti variasi sinaran suria dan letusan gunung berapi.
Namun, apabila pengaruh peningkatan gas rumah hijau akibat aktiviti manusia dimasukkan, tren pemanasan global yang diperhatikan dapat dijelaskan dengan baik. Ini merupakan antara bukti saintifik terkuat bahawa aktiviti manusia ialah punca utama pemanasan global dan perubahan iklim.
Akibatnya, saban tahun kita menyaksikan peningkatan bilangan dan teruknya fenomena cuaca ekstrem serta bencana iklim di seluruh dunia, dengan kesan yang semakin besar terhadap kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Gelombang haba menjadi semakin kerap dan ekstrem, episod hujan lebat semakin meningkat, kawasan yang mengalami kemarau dan kebakaran hutan semakin meluas, sementara paras serta suhu laut terus meningkat.
Tahun 2025 tidak terkecuali. Ia menyaksikan episod gelombang haba dan kebakaran hutan di Eropah dan Amerika Utara, banjir besar di pelbagai lokasi, serta kejadian ribut tropika dan taufan yang merosakkan.
Di Asia Tenggara khususnya, dari pertengahan hingga penghujung November 2025 dikejutkan dengan banjir besar di Hatyai (Thailand), di kawasan tengah dan timur Vietnam, serta banjir dahsyat di Sumatera yang mengorbankan lebih 1,200 nyawa.
Kemunculan ribut siklon Senyar di Selat Melaka kemudiannya mencetuskan bencana banjir besar di Sumatera.
Walaupun pelbagai faktor cuaca berlaku serentak, hampir pasti bahawa peningkatan suhu permukaan laut di Selat Melaka dan Laut China Selatan akibat pemanasan global merupakan antara penyumbang utama kepada pengukuhan sistem tekanan rendah yang sentiasa terbentuk di rantau ini.
Sejak 1970-an, suhu permukaan laut di sekitar Asia Tenggara telah meningkat melebihi 1.0°C. Peningkatan ini membekalkan tenaga haba yang mencukupi untuk memperkuat sistem cuaca ekstrem, membolehkan ribut tropika seperti Senyar terbentuk dan membawa kemusnahan besar.
Ringkasnya, walaupun 2025 mungkin bukan tahun terpanas dalam rekod, ia jelas merupakan tahun yang dipenuhi pelbagai episod bencana iklim.
Persoalannya kini: bagaimana pula dengan 2026? Dengan tren pemanasan global berterusan, suhu 2025 yang sudah berada dalam kelompok terpanas, serta ramalan terkini dari Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat yang menunjukkan kebarangkalian hampir 50 peratus berlakunya El Niño menjelang Julai 2026, terdapat kemungkinan besar bahawa 2026 akan muncul sebagai tahun terpanas nanti atau sekurang-kurangnya kedua terpanas dalam rekod.
Keadaan ini dijangka menjana pelbagai fenomena cuaca ekstrem. Di Malaysia dan Indonesia, kita berkemungkinan berdepan dengan cuaca lebih panas, episod kemarau lebih ketara, serta risiko jerebu yang meningkat.
Selamat menyambut tahun 2026.
Prof. Emeritus Dr. Fredolin Tangang ialah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia, dan kini berkhidmat di Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga merupakan bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja I Panel Antara-Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).