(Sumbangan Allahyarham di belakang tabir bantu Aceh)
JAKARTA: Bekas Menteri Kewangan Malaysia, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, dikenang bukan saja atas kepimpinannya dalam mengelola ekonomi ketika Malaysia berdepan masa mencabar sebelum ini tetapi juga kerana kerja-kerja kebajikan, terutama di Aceh, Indonesia.
Walaupun ramai mengetahui peranan Allahyarham Daim ketika Malaysia mengharungi krisis kewangan Asia 1997-1998, tidak ramai yang menyedari sumbangannya di belakang tabir di Aceh – sebuah wilayah di hujung utara pulau Sumatera – dan inisiatif beliau itu sangat dirasai.
Sumbangan beliau melalui dua yayasan memfokus bidang pendidikan dan sokongan kepada komuniti, dua bidang yang beliau percaya akan membawa perubahan positif terhadap wilayah itu.
“Tun Daim sendiri selama ini banyak membantu Aceh melalui kerja-kerja filantropi yang dilakukannya melalui Yayasan Zainuddin dan Yayasan Pok Rafeah (diberi nama sempena ibunya),” kata penulis buku ‘Isu-Isu Kontemporer Wakaf Indonesia’ dalam bahasa Indonesia, Fahmi M Nasir.
Dalam artikel bertajuk ‘Selamat Jalan Tun Daim: Biar Jasa Jadi Kenangan’, Fahmi menjelaskan hal itu memang tidak diketahui masyarakat umum kecuali mereka yang rapat atau pernah ke Aceh ketika Daim datang melawat lokasi pusat pendidikan yang dibantu oleh Allahyarham.
Allahyarham Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, meninggal dunia pada Rabu lalu.
Fahmi pada ketika itu kebetulan berada di Malaysia untuk bertemu kakitangan Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, mengenai projek bukunya.
Fahmi berkata, Daim bukan saja seorang dermawan, malah turut terbabit secara aktif dengan komuniti tempatan dan sering mengalu-alukan individu dari Aceh yang memerlukan bimbingan, termasuk Ketua Pengarang Serambi Indonesia, Zainal Arifin.
“Walaupun dalam keadaan kesihatan tidak begitu baik, Tun Daim tetap bersedia untuk ditemu bual eksklusif dengan Harian Serambi Indonesia,” katanya.
Hubungan Daim dengan Indonesia dan pemimpin tertinggi, termasuk Prof Dr Yusril Ihza Mahendra, terutama ketika krisis kewangan, juga merupakan elemen penting dalam legasinya.
Fahmi berkata, Daim telah menyarankan agar Presiden Soeharto menolak pinjaman dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana ia membawa dampak negatif terhadap majoriti rakyat Indonesia.
Ia disampaikan kepada Yusril yang diutus Soeharto dan Menteri Kewangan, Mar’ie Muhammad, untuk mendengar pandangan Malaysia, dan meminta Yusril menyampaikan pendekatan diambil oleh Malaysia untuk menangani krisis itu.
Katanya, Daim turut menulis kata pengantar untuk buku kompilasi ‘Contemporary Waqf Issues in Indonesia’ dalam bahasa Inggeris, dan berpesan kepadanya supaya buku itu diberikan kepada Yusril yang kini Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigrasi dan Pemasyarakatan serta seorang lagi tokoh yang dianggapnya dapat membantu Aceh pada masa depan.
Fahmi percaya hubungan itu bukan hanya bersifat politik atau ekonomi tetapi ia juga sangat peribadi.
“Tun Daim berusaha merapatkan hubungan antara kedua-dua negara, termasuk kesediaannya memberi nasihat serta minatnya untuk membantu menyelesaikan cabaran utama di Indonesia, terutama di wilayah Aceh,” katanya.
Pernah suatu ketika, Daim bercerita bahawa beliau sedang menyiapkan memoir yang ditulisnya sendiri.
“Memoir itu sudah mencapai ribuan halaman dan perlu dieditnya lagi sebelum diterbitkan,” kata Fahmi.
Fahmi sebelum ini sering diajak oleh Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid, bekas Menteri Besar Kedah yang ibu bapanya berketurunan Aceh, ketika bertemu dengan Daim.
Seiring perjalanan waktu, pertemuan dengan Daim meningkat, terutama jika beliau ingin membahas isu-isu Aceh dan Indonesia, sebaliknya Fahmi meminta nasihat mengenai isu wakaf.
“Tun Daim laksana seorang mentor yang memberi cadangan, kritikan dan pandangan mengenai wakaf, daripada pengamatannya sebagai tokoh perniagaan, perbankan mahupun berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Kewangan sebanyak dua kali,” katanya. – BERNAMA