Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Sekutu kanan Trump, Charlie Kirk ditembak mati di universiti AS
  • GLOBAL

Sekutu kanan Trump, Charlie Kirk ditembak mati di universiti AS

Utusan Sarawak 11 hours ago
PAPARAN skrin daripada video oleh Amy King ini menunjukkan aktivis belia berhaluan kanan dan influencer, Charlie Kirk, sedang berucap dalam sebuah acara umum di Universiti Lembah Utah, beberapa minit sebelum beliau ditembak di Orem, Utah, pada 10 September 2025. Foto AFP

LOS ANGELES: Charlie Kirk, aktivis belia berhaluan kanan dan influencer terkenal yang juga sekutu rapat Presiden Donald Trump telah ditembak mati pada Rabu dalam satu insiden yang disifatkan sebagai “pembunuhan politik”.

Kejadian ini mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan politik di Amerika Syarikat yang kini dilihat semakin tegang. Trump mengesahkan kematian Kirk, 31 tahun, melalui kenyataan di media sosial.

“Yang hebat, malah legenda, Charlie Kirk, telah meninggal dunia,” tulisnya di platform Truth Social.

Kirk ditembak ketika sedang berucap dalam sebuah acara di Universiti Lembah Utah (Utah Valley University). Rakaman video di lokasi menunjukkan beliau sedang berbicara di hadapan khalayak ramai apabila bunyi satu das tembakan kedengaran.

PAPARAN skrin daripada video oleh Jeremy King ini menunjukkan anggota keselamatan mengusung aktivis belia berhaluan kanan dan influencer, Charlie Kirk, selepas beliau ditembak ketika menghadiri sebuah acara umum di Universiti Lembah Utah, Orem, Utah, pada 10 September 2025. Foto AFP

Kirk kelihatan rebah di kerusinya sebelum kamera berpaling dan suasana panik mula tercetus dalam kalangan penonton.

Siasatan awal mendapati tembakan tunggal itu dipercayai dilepaskan dari bumbung bangunan kampus oleh individu berpakaian serba hitam, dalam satu serangan yang dilihat sebagai terancang dan bermotifkan politik.

Pengarah FBI, Kash Patel, mengesahkan bahawa seorang suspek kini berada dalam tahanan.

“Individu yang disyaki melakukan tembakan kejam yang telah meragut nyawa Charlie Kirk kini dalam tahanan,” katanya di platform X.

Sebagai tanda penghormatan, Presiden Trump mengarahkan agar semua bangunan kerajaan mengibarkan bendera separuh tiang sehingga Ahad. Bendera di Rumah Putih turut diturunkan sejurus selepas arahan itu dikeluarkan.

“Tiada siapa yang lebih memahami atau menyentuh hati belia Amerika lebih daripada Charlie. Dia dicintai dan dikagumi oleh SEMUA, terutamanya saya dan kini, dia sudah tiada,” tambah Trump.

INI SATU PEMBUNUHAN POLITIK

Gabenor Utah, Spencer Cox, menyifatkan kejadian tersebut sebagai “hari yang tragik bagi negara kita.”

“Saya ingin tegaskan, ini adalah satu pembunuhan politik,” katanya.

Cox, yang juga daripada Parti Republikan, menyeru rakyat Amerika supaya menolak keganasan dan merenung masa depan negara menjelang ulang tahun ke-250 penubuhannya.

“Kita semua perlu bertanya diri ke manakah arah kita, dan adakah ini warisan 250 tahun sejarah kita?”

Bekas ahli Kongres Utah, Jason Chaffetz yang turut berada di lokasi kejadian memberitahu Fox News bahawa tembakan berlaku ketika Kirk sedang menjawab soalan daripada penonton.

“Soalan pertama berkaitan agama. Beliau menjawab selama kira-kira 15 hingga 20 minit. Soalan kedua, secara kebetulan, menyentuh isu penembak transgender dan penembak massa  dan ketika itu, tembakan kedengaran,” katanya, yang kelihatan terkejut.

“Sebaik sahaja bunyi tembakan kedengaran, dia terus rebah. Semua orang meniarap… ramai menjerit dan kemudian mula melarikan diri,” tambah Chaffetz.

Kirk merupakan tokoh penting dalam mengukuhkan sokongan terhadap Trump dalam kalangan pengundi muda faktor utama kemenangan Republikan dalam pilihan raya lalu.

Dengan karisma semula jadi dalam penyampaian awam, beliau menubuhkan Turning Point USA pada 2012 sebuah gerakan konservatif untuk generasi muda. Beliau menjadi wajah utama media sayap kanan dan penceramah tetap di pelbagai persidangan politik.

Beliau memanfaatkan pengaruh besar di platform seperti Instagram dan YouTube untuk menyebarkan sokongan terhadap dasar anti-imigrasi, ajaran Kristian konservatif, dan hak pemilikan senjata. Video perdebatan beliau di kampus sering disunting dengan rapi dan menjadi tular.

Walaupun disambut baik oleh penyokong konservatif sebagai penyeimbang kepada dominasi liberal dalam pendidikan tinggi, kehadiran beliau juga sering mencetuskan bantahan hebat di kampus-kampus.

– AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Pakistan giat selamatkan 1.6 juta orang yang terancam banjir besar
Next: Puluhan cedera dalam letupan trak gas di Mexico City

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.