
BUENOS AIRES: Sekurang-kurangnya 30 orang maut dalam insiden rempuhan di sebuah lokasi tarikan pelancong popular di Haiti semalam, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan media Haiti.
Sebilangan besar pengunjung berkumpul di Laferriere Citadel di perbandaran Milot di utara negara itu semalam, menurut akhbar Le Nouvelliste.
Kubu abad ke-19 itu merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta tarikan pelancong popular di bahagian utara negara Caribbean itu. Ia dibina oleh bekas hamba dan dianggap sebagai simbol perjuangan rakyat Haiti untuk kebebasan daripada pemerintahan kolonial Perancis.
Perdana Menteri Haiti Alix Didier Fils-Aime dalam satu kenyataan berkata kerajaan menerima berita mengenai insiden yang melibatkan golongan muda itu dengan ‘dukacita yang mendalam’.
Pihak berkuasa telah digerakkan dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menyediakan bantuan serta sokongan, menurut kenyataan itu.
Kerajaan turut menggesa orang ramai supaya bertenang sementara siasatan berhubung keadaan kejadian itu diteruskan.
-Bernama