

TANGKAP layar daripada rakaman video UGC yang dikongsi oleh pengguna Facebook, Martham Pacilan, diambil dan diterima pada Selasa, menunjukkan salib sebuah gereja yang hampir tumbang akibat gegaran gempa bumi di Pulau Bantayan, tengah Filipina. Foto AFP
MANILA: Sekurang-kurangnya 26 orang maut manakala 147 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter melanda perairan wilayah Cebu di Filipina pada malam Selasa, lapor agensi berita Xinhua.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara Filipina pada Rabu memaklumkan angka korban dijangka terus meningkat.


POLIS dan pasukan penyelamat memeriksa kerosakan di sebuah dewan tertutup di bandar San Remigio, wilayah Cebu, tengah Filipina, selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.9 menggegarkan kawasan tengah Filipina, menyebabkan bangunan runtuh dan sekurang-kurangnya 26 orang terkorban. Gempa bumi cetek itu berlaku 9.50 malam (1359 GMT) pada Selasa di hujung utara pulau tersebut berhampiran Bogo, sebuah bandar yang mempunyai 90,000 penduduk, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS). Foto AFP
Menurut laporan itu, gempa turut menyebabkan kerosakan pada jalan raya dan jambatan.
Akhbar tempatan Sunstar Cebu menyiarkan Foto ahli keluarga di Bogo City menangis ketika melihat jenazah insan tersayang yang dibalut beg mayat berwarna hitam.
Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina pada mulanya merekodkan gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter sekitar 9.59 malam waktu tempatan Selasa.

ORANG ramai berkumpul di sebuah jalan selepas gegaran gempa bumi di Cebu, tengah Filipina. Foto AFP
Bagaimanapun, magnitud disemak semula kepada 6.9 dengan kedalaman lima kilometer, kira-kira 19 kilometer timur laut Bogo City.
Gegaran kuat turut dirasai di beberapa wilayah lain di Filipina tengah serta sebahagian kawasan di selatan.
Filipina terletak di sepanjang “Lingkaran Api Pasifik,” kawasan yang sering berdepan gempa bumi dan aktiviti gunung berapi.- Bernama-Xinhua