KUCHING: Kerajaan negeri akan mempelawa sektor swasta untuk terlibat sama dalam mewujudkan dasar ekonomi sosial pasca Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata antara lain, dasar itu adalah untuk mempromosikan eksport makanan negeri ini dan memberi insentif kepada para pelabur.
Ini juga katanya untuk menentukan ruang lingkup kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.
“Kami akan berunding dengan sektor swasta dalam merumuskan dasar ini,” katanya.
Uggah berkata demikian semalam ketika mengunjungi sebuah syarikat tempatan yang khusus dalam pengeluaran pelbagai jenis sos dan produk makanan restoran iaitu Syarikat Thian Yien Enterprise Sdn. Bhd.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata kerajaan akan membantu syarikat tempatan yang berkembang pesat menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa.
Beliau menambah ia bertujuan menjayakan visi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar negeri ini menjadi pengeksport makanan dan produk makanan menjelang tahun 2030.
“Apabila kita dapat menghasilkan lebih banyak makanan termasuk untuk eksport, kita dapat mengurangkan defisit import masa depan. Pada 2018 sahaja mencapai RM3.6 bilion,” ujarnya.
Uggah berkata salah satu masalah besar yang terlibat adalah menentukan produk yang dapat dihasilkan oleh negara.
“Tetapi Sarawak memiliki potensi besar kerana memiliki tanah yang luas. Sarawak juga memiliki reputasi menghasilkan makanan yang sihat,” katanya lagi.
Sementara itu, Uggah mengakui salah satu potensi untuk negeri ini adalah perikanan darat dan berkata, Thian Yen Enterprise telah menyatakan minatnya untuk memelihara udang kara untuk dieksport.
“Kita sedang mengusahakan bagaimana dapat menampung minat ini untuk situasi menang-menang,” katanya lagi.
Terdahulu Pengarah urusan syarikat Thian Yen Enterprise, Pooh Chee Ngee membawa Uggah yang ditemani Setiausaha Tetap kementeriannya, Edwin Abit dan pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Alvin Chai melihat sendiri aktiviti pengeluaran syarikat itu.
Syarikat berkenaan berjaya mengeksport sosnya ke negara-negara ASEAN dan Hongkong selain itu dalam proses menghasilkan produk makanan restoran untuk dijual di pasar raya.