SINGAPURA: Sektor perbankan Malaysia telah menerima sokongan padu dan ransangan dari kerajaan untuk meningkatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri tersebut.
Ketua Pegawai Penerangan Bank Simpanan Nasional, Lee Li Foon berkata, walaupun penggunaan AI dalam sektor itu masih di peringkat awal, terdapat peningkatan ketara yang membabitkan kerjasama antara pemain industri dan kerajaan untuk belajar daripada satu sama lain.
“Kerajaan telah pun menerajui Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Kebangsaan (Pelan Hala Tuju AI) yang saya percaya memberikan kami peluang yang besar dalam mengukuhkan garis panduan AI perbankan.
“Kami akan dapat melihat apa yang berkesan, apa yang toksik, apa yang bersifat halusinasi selain apa itu fakta sebenar,” katanya kepada Bernama pada persidangan International Business Machines Corporation (IBM) Think 2024 yang diadakan pada 14 hingga 15 Ogos 2024.
Persidangan yang bertemakan ‘Skala AI untuk Perniagaan Mempercepatkan Inovasi dan Produktiviti’, bertujuan meninjau bagaimana AI mampu membuka kunci potensi dalam ekonomi ASEAN.
Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd Shahariz Abdul Aziz, yang turut menghadiri acara itu, menjelaskan salah satu cabaran yang dihadapi oleh industri perkhidmatan kewangan ialah ketepatan data.
Dalam industri itu, ketepatan data perlu berada pada 100 peratus kerana ia melibatkan berurusan dengan pelanggan.
“Jadi pada asasnya, apa yang saya lihat sebagai peluang terbesar adalah hal di belakang tabir (kerja pentadbiran), terutamanya dari segi menjadikan sesuatu proses menjadi lebih cekap dan automatik. Memandangkan kami berurusan dengan begitu banyak maklumat, perkara sentiasa berubah tetapi jangkaan pelanggan adalah tinggi.
“Antara kes penggunaan yang signifikan ialah meminta kakitangan jualan menggunakan AI bagi melengkapkan diri mereka dengan semua pengetahuan yang diperlukan untuk berurusan dengan pelanggan secara lebih berkesan,” katanya, sambil menambah ini akan membantu perkhidmatan pelanggan berfungsi dengan cekap dan membolehkan perhubungan yang lebih bermakna dengan pelanggan.
Shahariz juga menyebut bahawa Bank Islam pada masa ini memberi tumpuan kepada pengumpulan maklumat penting untuk bahagian korporatnya.
Sebelum ini, bank itu dalam penilaian ke atas sesebuah syarikat akan menggunakan maklumat awam yang tersedia dan data yang dikumpul daripada entiti korporat bagi menyediakan cadangan pembentangan kepada pihak jawatankuasa kredit dan lembaga untuk kelulusan, proses yang biasanya mengambil masa hampir sebulan.
“Jadi pada asasnya, kami menggunakan AI untuk mengumpulkan semua maklumat ini, mensintesiskannya, menapis semua perkara yang bersifat tidak benar dan hanya selepas itu, barulah kami dapat memajukan cadangan berkenaan ke hadapan dan membentangkannya.
“Dalam senario ini, kami berharap AI akan mengurangkan masa yang diambil daripada tiga atau empat minggu kepada hanya beberapa jam. Dari situ, kami akan dapat beroperasi dengan lebih berkesan dan juga meningkatkan volum kami,” tambahnya. – Bernama