
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa pihak sekolah sepatutnya memikul tanggungjawab untuk menyalurkan maklumat berhubung insiden yang berlaku sehari sebelum kejadian tragis menimpa Zara Qairina Mahathir kepada ibu pelajar Tingkatan Satu itu.
Perkara itu dikongsikan oleh Nur Shukriah Mohd Fauzi, 37, guru disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, pada prosiding inkues kematian Zara Qairina, 13, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Saksi ke-53 itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam Farrah Nasser, yang mewakili ibu mangsa.
Farrah: “Pihak sekolah membiarkan mama Zara hingga ke hari ini terumbang-ambing tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada anaknya, dan beliau hanya dimaklumkan melalui media sosial sedangkan pihak sekolah yang sepatutnya bertanggungjawab memberikan maklumat itu?
Nur Shukriah menjawab, “Ya.”
Farrah: “Cikgu, cikgu juga seorang ibu. Jika insiden ini menimpa anak cikgu, tidakkah cikgu mahu mengetahui perkara sebenar sedangkan pihak sekolah sudah maklum?
Nur Shukriah: “Ya.”
Bagaimanapun, saksi itu berkata pihak sekolah tidak memaklumkan perjumpaan yang berlaku pada malam sehari sebelum Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri kepada ibu arwah kerana bimbang emosi wanita tersebut lebih terganggu kerana beliau telah kehilangan satu-satu anaknya.
Saksi itu turut mengakui bahawa kata-kata cacian yang dilemparkan oleh dua pelajar sehari sebelum insiden berkemungkinan memberi kesan terhadap emosi Zara Qairina.
Pada prosiding hari ini, Nur Shukriah turut berkongsi kata-kata yang diungkapkan oleh bapa arwah iaitu Mahathir Mohd Hashim @Marikan ketika alat bantuan pernafasan anaknya dicabut di wad neurologi Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lepas.
“Ketika itu, saya berada di wad berkenaan. Ayahnya kelihatan sangat emosi. Ketika doktor bersiap untuk mencabut alat bantuan pernafasan, beliau memegang katil sambil berkata ‘Zara, bangun Zara.’
“Ibunya pula terus menuju ke bahagian kepala Zara dan berkata ‘Mama reda Zara nak pergi. Zara anak manja mama, Zara anak yang baik,” kata guru itu ketika menjawab soalan peguam Clarice Vyone Conrad, yang mewakili bapa pelajar itu.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4.00 pagi 16 Julai.- Bernama