
PETRA JAYA: Penubuhan Sekolah Rendah Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Kuching No. 2 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pendidikan Islam di negeri ini.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha berkata, sekolah berkenaan yang mula beroperasi sejak Februari lalu telah menambah jumlah keseluruhan Sekolah Agama MIS di seluruh negeri kepada 12 sekolah, merangkumi 10 sekolah rendah dan dua sekolah menengah.
“Dengan adanya penubuhan Sekolah Rendah Agama MIS Kuching No. 2, perkhidmatan pendidikan formal kita kini memberi manfaat kepada lebih 6,630 murid dengan sokongan 587 guru yang berdedikasi dalam membentuk generasi berilmu serta berakhlak,” katanya pada Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama MIS Kuching No. 2 di sini, hari ini.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut dimaklumkan bahawa setiap sekolah SABK MIS memberi penekanan kepada penguasaan pelbagai bahasa termasuk Arab, Inggeris dan Mandarin.
Menurut beliau, pendekatan pendidikan di sekolah MIS bukan sahaja menitikberatkan aspek agama dan adab melalui slogan ‘Beradab, Berilmu dan Beramal’, malah turut menerapkan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bagi melahirkan pelajar yang seimbang antara nilai Islam dan kemahiran abad ke-21.
“Ini selaras dengan aspirasi Sarawak menuju negeri maju berpendapatan tinggi berasaskan ekonomi digital,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas sumbangan 418 unit Papan Pintar Interaktif bernilai RM6.54 juta pada tahun ini, yang bakal melengkapkan semua SABK MIS dalam mendukung transformasi pendidikan digital.
Selain itu, katanya, terdapat permohonan baharu untuk pembinaan sekolah agama di Saratok, manakala permintaan tinggi di kawasan Samarahan dan Sadong Jaya menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan agama di negeri ini.
“Permohonan kemasukan ke Sekolah Ibnu Khaldun Samarahan misalnya mencapai 200 orang meskipun hanya mampu menampung 90 pelajar. Ini bukti kepercayaan ibu bapa terhadap SABK MIS,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa terharu terhadap cadangan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk menjadikan Sekolah MIS Kuching No. 2 sebagai sekolah angkat dalam usaha memperindah kawasan sekolah berkenaan.
Beliau juga menyentuh jasa dan sokongan Almarhumah Datuk Amar Jumaani Tun Tuanku Bujang yang banyak memberi dorongan kepadanya dalam memastikan kesejahteraan pendidikan anak-anak Islam di Sarawak.
“Semoga roh Almarhumah ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh dan beriman, serta segala jasa dan amal jariah beliau diterima Allah SWT,” katanya.
Beliau menegaskan, MIS akan terus komited dalam memperkasa pendidikan Islam yang inklusif, berteraskan ilmu, adab dan teknologi, agar generasi baharu umat Islam Sarawak mampu bersaing di pentas global tanpa meninggalkan jati diri Islam.
Oleh Shikin Mahmud