KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak mengarahkan semua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dan Pengetua serta Guru Besar (PGB) mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu.
JPN Sarawak dalam garis panduan terbaharunya memaklumkan pihak sekolah hendaklah sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mengikut lokaliti masing-masing dan membuat keputusan segera sekiranya bacaan melebihi 200.
Berdasarkan garis panduan itu, sekolah hendaklah ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200 bagi melindungi murid dan warga sekolah.
Pihak sekolah tidak perlu menunggu arahan PPD atau JPN sekiranya bacaan IPU melepasi paras berkenaan, namun keputusan dan tindakan yang diambil perlu dimaklumkan segera kepada PPD dan JPN untuk tujuan penyelarasan serta pemantauan.
Sekiranya bacaan IPU melebihi 100 tetapi tidak melebihi 200, semua aktiviti luar bilik darjah hendaklah dihentikan termasuk Pendidikan Jasmani, sukan, permainan, latihan rumah sukan, perhimpunan dan aktiviti kokurikulum di luar bangunan.
Aktiviti yang bersesuaian boleh dipindahkan ke dalam bangunan dengan mengambil kira keadaan semasa dan kesihatan murid.


Bagi sekolah yang ditutup akibat jerebu, pihak sekolah hendaklah memaklumkan ibu bapa atau penjaga dan murid, selain memantau perkembangan bacaan IPU serta memastikan kebajikan murid terpelihara.
Pembelajaran dari rumah (PdPR) atau kaedah pembelajaran yang bersesuaian juga boleh dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran.
Sementara itu, sekiranya bacaan IPU melebihi 500, guru dan kakitangan sokongan (AKP) tidak perlu hadir ke sekolah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.
JPN Sarawak turut mengingatkan supaya murid yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara diberikan perhatian dan perlindungan khusus.
Ibu bapa atau penjaga juga mempunyai hak untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya kehadiran mereka boleh menjejaskan kesihatan.
Sekolah boleh dibuka semula apabila kualiti udara bertambah baik dan bacaan IPU berada di bawah paras penutupan, tertakluk kepada arahan serta ketetapan semasa pihak berkuasa pendidikan.
PGB turut diminta merujuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), JPN, PPD, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat serta arahan terkini.
Oleh Afiq Sallehi




