Sekolah Menengah Berasrama bakal ubah landskap pendidikan luar bandar di Daerah Pantu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIMANGGANG: Komitmen untuk memperjuangkan pembinaan sebuah Sekolah Menengah Berasrama di Daerah Pantu terus menjadi keutamaan demi memastikan anak-anak luar bandar mendapat akses pendidikan yang lebih sempurna dan berkualiti.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, sebagai sebuah daerah penuh yang mempunyai 11 sekolah rendah tetapi masih belum memiliki sekolah menengah, institusi berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mahupun kolej vokasional, keperluan tersebut kini semakin mendesak.

Menurutnya, pembinaan sekolah menengah berasrama itu diyakini mampu menjadi pemangkin pembangunan pendidikan di Daerah Pantu dan Bahagian Sri Aman dengan memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, sekali gus mengurangkan kadar keciciran pelajar serta melahirkan lebih ramai modal insan berdaya saing.

“Pembinaan sekolah ini bakal menjadi game changer kepada Daerah Pantu kerana ia membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak luar bandar untuk menikmati pendidikan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merarau Sekolah Zon Pantu 2026 yang berlangsung di sini, kelmarin.

DATO‘ Sri Doris Sophia Brodie semasa hadir merasmikan Majlis Merarau Sekolah Zon Pantu 2026 yang berlangsung di sini, kelmarin. Foto Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sri Aman

Dalam pada itu, Doris turut menyeru semua pihak agar terus memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat yang selamat, kondusif serta bebas daripada budaya buli, gengsterisme, penyalahgunaan dadah dan pelbagai gejala sosial.

Beliau berkata kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terus membuktikan komitmen terhadap pembangunan pendidikan melalui pelbagai inisiatif termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

“Marilah kita bersama-sama memanfaatkan segala peluang yang disediakan demi masa depan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, program julung kali berkenaan menghimpunkan 11 buah sekolah di Zon Pantu bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing sebagai platform memperkukuh kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam meningkatkan kualiti pendidikan.

Pada majlis sama, Doris turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua sekolah Zon Pantu atas pelbagai pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan sukan.

Sambil itu beliau turut menyifatkan kejayaan itu membuktikan anak-anak luar bandar mempunyai potensi besar untuk berjaya apabila diberikan peluang, sokongan dan bimbingan yang sewajarnya.

Oleh Adi Safarman