KUCHING: Semua sekolah di Sarawak perlu ditutup serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, menurut panduan pengurusan sekolah ketika jerebu yang dikongsikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, JPN Sarawak memaklumkan bacaan IPU melebihi 200 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat dan memerlukan tindakan segera bagi mengutamakan keselamatan serta kesihatan murid dan warga sekolah.
Menurut panduan berkenaan, pihak sekolah perlu memaklumkan penutupan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekiranya bacaan IPU melebihi paras tersebut.
Guru-guru juga perlu melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh penutupan sekolah.
Bagi bacaan IPU melebihi 500 pula, keadaan dikategorikan sebagai bahaya atau kecemasan, dengan sekolah perlu ditutup sepenuhnya.
Pada tahap berkenaan, semua guru dan kakitangan sekolah tidak perlu hadir ke pejabat atau sekolah, sekali gus membolehkan tumpuan diberikan kepada aspek keselamatan dan kesihatan.
Sementara itu, sekiranya bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah termasuk Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, sukan, perhimpunan serta perkhemahan.
Sekolah juga disaran menangguhkan aktiviti luar bilik darjah dan menasihatkan murid supaya memakai pelitup muka yang sesuai bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar.
JPN Sarawak turut mengingatkan pihak pentadbiran sekolah supaya memantau bacaan IPU secara berterusan menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).
Dalam pada itu, ibu bapa diberi kelonggaran untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap keselamatan dan kesihatan mereka, khususnya murid yang mempunyai penyakit asma atau masalah pernafasan.
Bagaimanapun, ibu bapa perlu memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak sekolah.
Panduan itu turut menyarankan kelonggaran pemakaian pakaian sukan yang sopan semasa sesi persekolahan sekiranya cuaca panas dan jerebu melanda, bagi membantu mengurangkan komplikasi kesihatan.
JPN Sarawak turut menggalakkan murid dan warga sekolah mengamalkan langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka, minum air dengan kerap serta mengurangkan aktiviti luar ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Panduan berkenaan turut merujuk Surat Siaran Kementerian Pendidikan (KPM) Bil. 1 Tahun 2019 berkaitan langkah-langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di kawasan berisiko kritikal serta Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 3 Tahun 2026 mengenai garis panduan pengurusan sekolah selamat.




