ABUJA: Beratus pelajar sekolah menengah hilang selepas sekolah itu diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata di negeri Katsina
Penyerang tiba dengan menaiki motosikal dan melepaskan tembakan ke udara, menyebabkan orang ramai bertempiaran melarikan diri, kata saksi.
Mereka mensasarkan sebuah sekolah menengah sains yang menempatkan 800 pelajar.
Pada hari Sabtu, tentera memaklumkan pihaknya telah dapat menjejaki tempat persembunyian kumpulan lelaki bersenjata itu di sebuah hutan dan berlaku berbalas tembakan.
Setakat ini tiada pelajar yang dilaporkan cedera.
Sementara itu, Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari yang mengecam serangan itu memerintahkan sekolah tersebut untuk melakukan audit penuh terhadap pelajar untuk mengetahui jumlah pelajar yang masih hilang.
Dalam pada itu, ibu bapa yang bergegas ke sekolah untuk membawa anak-anak mereka pulang juga diminta untuk memberitahu pihak sekolah.
Penduduk yang tinggal di dekat sekolah asrama lelaki di daerah Kankara memberitahu mereka mendengar tembakan kira-kira pukul 11 malam pada hari Jumaat dan bahawa serangan itu berlangsung lebih dari satu jam.
Anggota keselamatan di sekolah itu berjaya mengusir beberapa penyerang sebelum pasukan polis tiba.
Dalam satu kenyataan pada hari Sabtu, polis mengatakan semasa berbalas tembakan, beberapa orang bersenjata mundur.
Para pelajar pula melompat pagar sekolah dan berlari untuk menyelamatkan diri.
Kira-kira 200 pelajar yang melarikan diri – dan pada mulanya dianggap hilan, kembali ke sekolah.
Bagaimanapun, saksi mendakwa melihat sejumlah pelajar dibawa oleh lelaki bersenjata itu.
Penduduk telah bersama-sama polis mengesan saki-baki pelajar yang masih hilang. –AFP