

KUCHING: Pengguna jalan raya di sekitar bandar raya ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati, terutamanya ketika memandu di permukaan jalan yang basah susulan cuaca yang kerap hujan, khususnya pada sebelah petang dan malam.
Bersempena pembukaan semula sesi persekolahan 2026 yang akan bermula pada 12 Januari ini, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menasihatkan ibu bapa dan semua pengguna jalan raya agar lebih peka, berhemah, dan berhati-hati ketika memandu, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato’ Hilmy Othman berkata, keadaan hujan yang berlaku secara berselang-seli serta situasi banjir kilat di beberapa kawasan berpotensi meningkatkan tekanan dan kesesakan lalu lintas, terutamanya pada waktu puncak pagi dan tengah hari di sekitar kawasan sekolah.
“Saya mengambil kira keadaan cuaca yang tidak menentu serta cabaran banjir kilat yang boleh memberi kesan kepada kelancaran trafik. Sehubungan itu, DBKU komited untuk menugaskan anggota Trafik Warden dan akan berusaha sebaik mungkin untuk menempatkan mereka di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan sesak.
“Kawalan ini bertujuan memastikan kelancaran pergerakan kenderaan, mengurangkan kesesakan, serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya,” jelas beliau di dalam kenyataan hari ini.
Orang awam dinasihatkan agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anggota Polis Trafik PDRM dan Trafik Warden DBKU yang bertugas dengan mematuhi arahan dan isyarat yang diberikan demi keselamatan semua serta kelancaran trafik.