SARIKEI: Sekitar 200 penduduk kampung di Bukit Kinyau menghadiri majlis ramah tamah Aidilfitri di Dewan Serbaguna Bukit Kinyau.
Hadir untuk beraya bersama penduduk ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan isteri Datin Asiah Awai.
Majlis anjuran bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kuala Rajang Zon Sarikei dan Saberkas Cawangan Kuala Rajang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Len Talif pada majlis tersebut berkata, akan ada lagi pembangunan dilengkapi kemudahan asas disediakan di Bukit Kinyau untuk keselesaan penduduk.
“Antara kemudahan yang sudah sedia ada dan digunakan sekarang ini ialah dewan, masjid dan bekalan elektrik.
“Walaupun bekalan air dan akses jalan raya belum dilaksanakan, tapi kita memang tahu ia adalah kemudahan asas yang perlu kita sediakan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian pada majlis ramah tamah Aidilfitri di Dewan Serbaguna Bukit Kinyau, petang semalam.
“Sejak lima tahun yang lepas, kita telah diuji dalam tiga aspek.
“Pertama, dari segi politik. Pada masa itu, Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya umum (PRU) 2018.
“Pada masa itulah kita diuji bagaimana kita dapat melihat pemimpin-pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab, ikhlas dan mempunyai hati nuraini yang dekat sekali dengan rakyat di Bukit Kinyau ini,” ujarnya.
Oleh itu, katanya, apa yang berlaku pada 2018 adalah ujian untuk melihat betapa pentingnya kesatuan di dalam sebuah kampung seperti ini.
“Saya berterima kasih kepada rakyat di Bukit Kinyau yang kini terus setia pada perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Aspek kedua ialah cabaran dari segi kesihatan, wabak pandemik Covid-19.
“Bagaimana dalam keadaan terdesak, kita telah membantu rakyat yang tersepit akibat wabak ini. Alhamdulillah, berkat kerjasama kita semua, kita dapat bersemuka kembali bersama merayakan Aidilfitri,” katanya lagi.
Tambahnya, aspek ketiga ialah cabaran dari segi ekonomi.
“Tekanan pandemik Covid-19 mengakibatkan terjejasnya ekonomi seluruh dunia.
“Apa yang penting dalam cabaran seperti ini adalah kita di kawasan luar bandar melihat bagaimana kita dapat bekerjasama dengan kerajaan yang sedia ada.
“Kerajaan Sarawak telah memberi suntikan kewangan dalam ekonomi kita bagi membantu rakyat dan pada masa sama membangunkan infrastruktur-infrastruktur yang ada,” tambahnya.
Oleh EARL ANEK