SIBU: Lebih 1,000 tetamu telah hadir memeriahkan majlis Pra Gawai Dayak Sibu 2023 bertemakan ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’, semalam.
Majlis anjuran bersama Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Sibu dan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) Sibu dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Aaron berkata, SDNU telah berfungsi dengan baik dalam menjaga kebajikan dan banyak terlibat dalam hal-hal kebajikan masyarakat Dayak terutama sepanjang tempoh pandemik Covid-19
“Bila berlaku kebakaran, banjir serta lain-lain bencana, SDNU Sibu dilihat datang menghulur sumbangan kepada mereka yang terjejas,” jelasnya.
SDNU bersama Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) katanya, dilihat banyak membantu masyarakat Dayak.
Beliau berkata demikian menyempurnakan majlis Pra Gawai Dayak Sibu 2023 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Ahli Parlimen Kanowit itu turut memuji kedua-dua pertubuhan tersebut yang sering dilihat hadir menyertai program-program yang membabitkan penyertaan berbilang komuniti.
Beliau mahu SDNU dan SIDS terus aktif memupuk perpaduan bersama pertubuhan lain, selain berkhidmat kepada komuniti Dayak.
Aaron turut mengajak penduduk Sibu untuk bersama-sama memeriahkan Minggu Perpaduan Negara di Kuching bermula dari 21 Mei hingga 28 Mei di Kuching.
“Perasmian program akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 21 Mei. Pelbagai program menarik akan memeriahkan sambutan tersebut,” ujarnya.
Menyentuh tentang sambutan Hari Gawai Dayak, beliau berharap sambutan akan dapat diraikan dengan penuh bermakna bersama keluarga, saudara-mara dan sahabat handai ketika di rumah panjang.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew, wakil Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wilson Ugak Kumbong iaitu Danggang Ugik, Temenggong Stanley Geramong, Pengerusi SDNU Sibu Chambai Lindong serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN