LAWAS: Sekeluarga cemas apabila rumah mereka dihempap pokok durian di Kampung Long Sebatu Ulu Trusan petang semalam disebabkan angin kencang.
Keluarga yang terdiri daripada empat orang itu bagaimanapun bernasib baik kerana pokok menghempap bahagian dapur rumah ketika mereka tiada di bahagian itu.
Ketika kejadian pada pukul 6.53 petang itu, empat ahli keluarga itu sedang berada di rumah sebelum memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas berhubung kejadian berkenaan.
Ketua BBP Lawas Azman Ibrahim berkata sebaik tiba di tempat kejadian didapati sebatang pokok durian telah tumbang lalu menghempap bahagian dapur rumah pengadu.
“Anggota segera bertindak memotong dahan pokok menggunakan tiga unit gergaji berantai, dan seterusnya mengalihkan bahagian yang telah dipotong itu dari atap rumah sehingga selesai.
“Ketika kejadian terdapat empat orang ahli keluarga berada di rumah namun tiada kecederaan yang berlaku,”katanya kepada media hari ini.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 8.42 malam tadi.
Seramai lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua Mazrom Ampahon bergegas ke lokasi kejadian yang jauhnya 36 kilometer dari balai untuk operasi khidmat khas pokok tumbang.
Oleh ADENG EDRUS