
KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 yang disiarkan dari Angkasapuri malam ini. Program eksklusif itu turut menyentuh persoalan konsistensi prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme penetapannya, kelangsungan ekonomi negara pada era pandemik serta momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Program tersebut diterbitkan dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), temu bual eksklusif yang dihoskan oleh Wan Syahrina Wan Ab Rahman daripada Bernama TV bersama Terrence Dass (RTM). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA KUALA LUMPUR, May 23 -- Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin spoke at the COVID-19 Pandemic Challenge Special Talk Program broadcast from Angkasapuri tonight. The exclusive program also touched on the question of the consistency of standard operating procedures (SOPs) and their setting mechanisms, the country's economic viability in the pandemic era as well as the momentum of the National COVID-19 Immunization Program. The program was published in collaboration with Radio Televisyen Malaysia (RTM) and Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), an exclusive interview hosted by Wan Syahrina Wan Ab Rahman from Bernama TV with Terrence Dass (RTM). --fotoBERNAMA (2021) COPYRIGHTS RESERVED

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya melakukan sendiri sekatan pergerakan atau ‘self-lockdown’ untuk menyekat peningkatan mendadak jangkitan covid-19 yang menyaksikan bilangan kes harian kini mencecah lebih 6,000 kes setiap hari.
Beliau juga menasihati mereka supaya ‘mengingatkan’ yang lain untuk berbuat perkara yang sama kerana apapun usaha yang dibuat kerajaan tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ada yang asyik tanya kenapa tak buat total lockdown (perintah kawalan pergerakan sepenuhnya)? Do your own lockdown, buat self-lockdown (buat sekatan pergerakan kendiri), stay at home and tell others to do the same thing (duduk di rumah dan beritahu yang lain untuk lakukan perkara sama) kerana apapun usaha yang dibuat tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP ditetapkan.
“Sebaiknya kita bekerjasama, tak payah nak salah menyalahkan, cari jalan, berdoa semoga kita diberikan perlindungan dan dengan usaha ini Insya-Allah kita akan menang,” katanya dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV semalam.
Menurut Perdana Menteri pertimbangan antara hidup dan kehidupan perlu diambil kira dalam memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk dengan langkah-langkah yang diambil kerajaan.
Disebabkan itu kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan sepenuhnya ketika ini seperti PKP 1.0 kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan lebih ramai yang hilang pekerjaan selain ketidakupayaan untuk bangkit bagi memulihkan kehidupan dan ekonomi.
“Memang kalau ikutkan saya, KKM kata memang itu yang terbaik Tan Sri…tapi kesan kepada negara, kalau rakyat tak bekerja, ekonomi dah runtuh nak bangunkan semula (seperti PKP 1.0), saya (kerajaan) terpaksa belanja RM340 bilion dengan enam pakej rangsangan.
Itu bukanlah jumlah yang sedikit, tak pernah berlaku dalam negara. Dua puluh peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita gunakan untuk menolong rakyat. Ini yang rakyat harus faham. Kalau buat begitu (tutup semua sektor ekonomi) kita akan hadapi masalah yang lebih besar, nanti negara tak boleh nak bangkit,” katanya.
Muhyiddin berkata penutupan semua sektor ekonomi semasa PKP 1.0 pada 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 bagi mengekang penularan Covid-19 bukan sahaja menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari, tetapi ramai rakyat kehilangan pekerjaan selain peniaga kecil turut terjejas teruk.
Katanya, jika kerajaan ‘membawa semula’ PKP 1.0, negara berkemungkinan memerlukan sehingga RM500,000,000,000 atau setengah trilion ringgit bagi membantu rakyat dan merangsang semula ekonomi negara.
“Boleh tutup (semua sektor ekonomi), tapi bila buka balik nanti mungkin sistem itu dah runtuh kerana kita kena buka semula i-Sinar, beri bantuan Prihatin, moratorium dan lain-lain, mampukah kerajaan tanggung lagi? boleh tapi tak sebanyak mana.
“Saya tak nak lihat rakyat saya terkorban hanya kerana kelekaan saya atau mereka. Saya juga tidak mahu ekonomi kita runtuh,” katanya dan menambah disebabkan itu kerajaan membuat keputusan untuk memperketatkan SOP PKP 3.0 seperti diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha untuk melandaikan lekuk Covid-19 merupakan tanggungjawab setiap lapisan masyarakat dengan berkata: “terima hakikat ini masalah bersama, approach kita bukan whole of government, it is whole of society (pendekatan kita bukan keseluruhan kerajaan, ia adalah keseluruhan masyarakat) ,” katanya.
Enam pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) melibatkan peruntukan RM250 bilion pada Mac 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) sebanyak RM10 bilion pada April 2020.
Pada Jun tahun sama, kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM35 bilion, selain Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (KITA Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion pada September lepas.
Pada Januari tahun ini, kerajaan mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dengan peruntukan RM20 bilion pada Mac lepas.
– Bernama