Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Sekadar pengsan atau penyakit jantung serius?
  • KESIHATAN

Sekadar pengsan atau penyakit jantung serius?

Utusan Sarawak 5 hours ago
GAMBAR hiasan

KUALA LUMPUR: Pengsan boleh berlaku atas pelbagai sebab dan sering dianggap tidak berbahaya. Walaupun kebanyakan episod dikaitkan dengan tekanan, dehidrasi, berdiri terlalu lama atau emosi meluap, sesetengah pengsan mungkin boleh menjadi amaran awal tubuh terhadap masalah jantung yang serius.

Pakar Kardiologi, Elektrofisiologi dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Lim Chiao Wen berkata sinkop jantung adalah pengsan mendadak akibat penurunan aliran darah ke otak disebabkan gangguan jantung, dan ia berbeza dengan pengsan biasa, kerana keadaan ini berisiko tinggi, sering berlaku tanpa amaran, dan boleh mengancam nyawa sekiranya tidak diberikan rawatan segera.

Beliau berkata antara punca sinkop berlaku ialah apabila terdapat ritma jantung tidak teratur, masalah struktur menjejaskan otot atau injap jantung, serta kejadian berkaitan peredaran darah yang serius seperti pembekuan darah di paru-paru atau koyakan di arteri (saluran darah) utama badan.

Keadaan ini sering disalah anggap sebagai episod pengsan biasa. Dr Lim berkata apabila jantung berdegup terlalu laju atau terlalu perlahan, tekanan darah boleh menurun secara mendadak, mengurangkan aliran darah ke otak dan menyebabkan pengsan secara tiba-tiba tanpa amaran.

Beliau menekankan beberapa keadaan struktur yang lebih berkait rapat dengan sinkop jantung termasuk kardiomiopati hipertrofik (penebalan otot jantung), stenosis aorta (penyempitan injap aorta), dan miokarditis (keradangan otot jantung)

Dr Lim berkata tekanan emosi juga mungkin menjejaskan jantung secara langsung daripada yang disedari ramai orang, kerana lonjakan adrenalin boleh mengganggu kedua-dua irama jantung dan tekanan darah.

Yang penting, beliau mengingatkan bahawa rentak jantung tidak normal boleh berlaku secara tiba-tiba dan mungkin tidak dapat dikesan semasa pemeriksaan rutin, bermaksud, orang yang kelihatan sihat pun boleh pengsan tanpa amaran.

Sementara itu, Pakar Perunding Kecemasan SMCV Dr Cyrus Lai Sin Nan berkata walaupun pengsan atau sinkop menyumbang kira-kira satu hingga tiga peratus daripada kunjungan ke jabatan kecemasan, sinkop berkaitan jantung jauh lebih berbahaya kerana kaitannya dengan aritma yang serius, kemerosotan mendadak dan juga kematian.

“Walaupun kes sebegini tidak kerap berlaku, potensi keterukannya menjadikan ia tidak boleh dipandang ringan, terutamanya apabila pengsan secara tiba-tiba, berulang tanpa sebab jelas atau disertai simptom lain yang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun pemulihan cepat selepas pengsan, bukan bermakna episod itu tidak berbahaya kerana punca sebenar mungkin serius.

“Inilah sebabnya jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E) menjadi titik penilaian yang sangat penting, kerana matlamat segera bukan sahaja untuk menstabilkan pesakit, tetapi juga untuk menentukan sama ada pengsan itu mencerminkan masalah jantung berbahaya yang memerlukan perhatian segera.”

“Di A&E, kebanyakan kes berkaitan jantung biasanya melibatkan sakit dada atau sindrom koronari akut, aritma, kegagalan jantung dan hipertensi yang tidak terkawal,” katanya.

Beiau berkata sinkop jantung boleh berlaku tidak mengira usia dan biasanya lebih membimbangkan dalam kalangan warga emas, terutama mereka yang mengalami pengurangan aliran darah ke jantung, penyakit injap jantung, aritma, penggunaan alat pacu jantung (pacemaker) atau mempunyai pelbagai penyakit lain.

“Bagi pesakit muda, kita lebih peka jika pengsan berlaku semasa melakukan aktiviti fizikal, dengan jantung berdegup laju atau jika terdapat sejarah keluarga kematian mengejut, kerana gangguan aritma yang diwarisi atau keadaan struktur seperti kardiommiopati hipertrofik boleh terlibat,” kata Dr Cyrus.

Dr Cyrus berkata penilaian kecemasan untuk sinkop jantung biasanya merangkumi pemeriksaan saluran pernafasan, pernafasan dan peredaran darah, pemantauan tanda-tanda vital, ujian gula dalam darah, sejarah perubatan terperinci, pemeriksaan fizikal, pengukuran tekanan darah ostostatik apabila diperlulan dan elektrokardiogram 12-lead untuk mengesan sebarang keabnormalan ritma atau tanda-tanda amaran lain.

Beliau berkata pesakit dengan ciri-ciri membimbangkan mungkin memerlukan pemantauan jantung berterusan manakala siasatan lanjut boleh merangkumi penanda darah jantung, kiraan darah, ujian buah pinggang dan elektrolit serta pengimejan terpilih berdasarkan keadaan semasa pesakit.

Beliau berkata penilaian awal dalam keadaan kecemasan adalah penting kerana sesetengah pesakit mungkin kelihatan stabil pada mulanya tetapi masih berisiko mengalami kemerosotan yang cepat.

Dari sudut kardiologi, Dr Lim berkata penilaian lanjut mungkin melibatkan ekokardiografi, iaitu penggunaan ultrabunyi untuk menilai struktur dan fungsi pengepaman jantung, pemantauan Holter untuk merekod degupan jantung (dalam tempoh lebih 24 jam), serta ujian berlari (stress test) dan ujian pengimejan koronari terpilih jika ada keperluan.

Beliau berkata jenis rawatan pula bergantung kepada punca sebenar dan boleh merangkumi penggunaan ubat, pemasangan peranti seperti perentak jantung atau defibrilator, atau prosedur ablasi untuk membetulkan laluan elektrik tidak normal untuk kes aritma yang boleh mengancam nyawa.

“Jika serangan jantung dikenal pasti, rawatan segera seperti prosedur angiplasti koronari dan pemasangan stent mungkin diperlukan bagi memulihkan aliran darah,” katanya sambil menambah jika dibiarkan tanpa didiagnosis, sinkop jantung boleh membawa risiko kematian yang tinggi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, terutama individu mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit jantung disarankan memulakan saringan kesihatan pada usia lebih muda, kerana pengesanan awal memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung serius serta meningkatkan kesihatan untuk jangka panjang.

Pengsan juga tidak boleh dianggap remeh, terutama apabila disertakan dengan sakit dada, jantung berdegup laju, sesak nafas, atau pengsan semasa bersenam atau ketika berbaring, atau diikuti kekeliruan berpanjangan atau kecederaan serius.- Bernama

Continue Reading

Previous: Berdengkur dalam kalangan kanak-kanak mungkin isyarat masalah pernafasan – Pakar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.