Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sejijak bakal miliki tebingan sungai, 100 unit rumah mampu milik – Abang Johari
  • TEMPATAN

Sejijak bakal miliki tebingan sungai, 100 unit rumah mampu milik – Abang Johari

Utusan Sarawak 16 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Penangguhan Regata Sejijak 2025 di Kampung Sejijak, hari ini. Foto Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING: Kawasan Kampung Sejijak dan sekitarnya bakal melalui transformasi menyeluruh apabila kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkannya sebagai hab pelancongan dan penempatan komuniti baharu melalui pelbagai projek strategik.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek utama yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan tebingan sungai dan pembinaan rumah mampu milik sebagai sebahagian daripada usaha merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan berasaskan sungai di kawasan pinggir bandar.

“Bayangkan kita boleh naik perahu dari Kuching, berhenti makan di Sejijak, kemudian meneruskan perjalanan ke Siniawan. 

“Ini bukan sahaja menghidupkan semula budaya sungai, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regata Sejijak 2025 di Kampung Sejijak, hari ini.

Sehubungan itu, Abang Johari mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk kerja-kerja pembangunan tebingan sungai di Kampung Sejijak sebagai permulaan kepada projek tersebut.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Penangguhan Regata Sejijak 2025 di Kampung Sejijak, hari ini. Foto Jabatan Penerangan Sarawak

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut merancang pembinaan 100 unit rumah mampu milik di kawasan seluas 30 hektar di antara Kampung Sejijak dan Kampung Paroh lengkap dengan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan, bekalan air dan elektrik.

“Infrastruktur akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Rakyat hanya perlu membayar premium tanah serendah RM2,500 dan membiayai rumah melalui skim pinjaman mampu milik,” ujarnya.

Selain itu, projek berkenaan turut dianggap sebagai kesinambungan pembangunan yang sedang giat dijalankan di Kampung Segedup dan kawasan sekitar.

Bagi mengukuhkan jaringan penghubung antara kawasan berkenaan, kerajaan turut mencadangkan pembinaan jalan baharu yang akan menghubungkan Jalan Tan Sri Dr Sulaiman Daud ke Kampung Segedup, Sejijak dan Paroh sekali gus mengurangkan jarak serta masa perjalanan antara kampung.

“Langkah ini merupakan salah satu strategi untuk mengimbangi pembangunan antara bandar dan luar bandar, selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan menyeluruh untuk semua,” tambahnya.

Oleh Amanda L

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: MTPN Sarawak dedah banyak klinik kecantikan tidak berlesen masih beroperasi
Next: Sarawak peruntuk RM300 juta perkukuh seni persembahan dan budaya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.