PETRA JAYA: Sejarah Sarawak perlu diteliti daripada pelbagai sudut dengan mengangkat sumber tempatan bagi melengkapkan naratif sejarah negeri ini.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sejarah sebagai satu bidang ilmu memerlukan penelitian terhadap sumber, perbandingan dan tafsiran yang dibuat secara bertanggungjawab.
Menurut beliau, usaha meneliti semula sejarah bukan bermaksud mengubah fakta yang sedia ada, sebaliknya melengkapkan perkara yang masih belum diterokai serta memperluas sudut pandangan dalam memahami sesuatu peristiwa sejarah.
Katanya, sumber tempatan seperti manuskrip lama, salasilah keturunan, syair tradisional, sejarah lisan dan rekod peribadi perlu diberi perhatian dalam penelitian sejarah Sarawak.
“Menulis semula sejarah Sarawak bukan bermaksud menukar fakta sesuka hati. Maksudnya ialah melengkapkan kekurangan, membetulkan kesilapan, memperluas sudut pandang, membaca sumber luar secara kritis serta mengangkat sumber tempatan dan suara masyarakat Sarawak sendiri dalam naratif sejarahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Negarawan pada Majlis Syarahan Negarawan 2026 di Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini.
Tun Wan Junaidi berkata, penulisan Barat, Eropah dan Orientalis, termasuk catatan berkaitan pemerintahan Brooke, perlu dibaca secara kritis dan tidak dijadikan satu-satunya rujukan dalam memahami sejarah Sarawak.
Menurutnya, pelbagai sumber perlu dibandingkan dan diteliti sebelum sesuatu tafsiran sejarah dibuat bagi memastikan penelitian yang dihasilkan mengambil kira sudut pandangan yang berbeza.
Sehubungan itu, beliau menggesa usaha mengumpul, mendigitalkan dan menerbitkan sumber sejarah Sarawak dipergiat dengan penglibatan universiti, muzium, arkib, perpustakaan, sekolah, persatuan sejarah, badan kebudayaan, komuniti tempatan serta keluarga yang masih menyimpan dokumen lama.
Katanya, surat, gambar, manuskrip dan rekod keluarga yang masih tersimpan secara persendirian turut berpotensi menjadi bahan penting dalam melengkapkan catatan sejarah Sarawak.
Tun Wan Junaidi berkata, sejarah sebagai ilmu perlu dibezakan daripada memori kerana penelitian sejarah memerlukan sumber, kaedah perbandingan, penelitian dan penafsiran yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting supaya pemahaman mengenai identiti dan perjalanan sejarah Sarawak tidak hanya bergantung kepada satu-satu tafsiran.
Majlis Syarahan Negarawan 2026 dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Pustaka Negeri Sarawak, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak dan Ikatan Graduan Melayu Sarawak.
Program itu merupakan antara tiga program utama sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, selepas Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 yang berlangsung pada Selasa hingga semalam.




