
PEPERANGAN yang berlaku sejak berabad lamanya diceritakan hanya berlaku di darat dan di laut.
Namun pada 1909, Giulio Douhet seorang pegawai tentera Itali yang berpandangan jauh, meramalkan bahawa langit akan menjadi medan pertempuran baharu yang sama pentingnya dengan pertempuran di darat dan di laut.
Ramalan beliau ternyata benar-benar berlaku apabila Perang Dunia Pertama menyaksikan kelahiran pesawat tempur yang mengejutkan ramai pihak akan derumannya di angkasa.
Walaupun ketika itu teknologi penerbangan masih dalam fasa percubaan dan belum mapan, pesawat awal kebanyakannya berstruktur kayu, berkuasa rendah dan tidak direka untuk kelajuan tinggi atau pertempuran sengit.
Malah rata-rata pesawat ketika itu hanya digunakan untuk peninjauan serta pemetaan kedudukan musuh.
Pada 1917, British Royal Flying Corps menerbangkan pesawat paling ikonik pada zaman tersebut iaitu Sopwith Camel.
Pesawat ini dilengkapi dua mesingan Vickers yang diselaraskan secara sinkronisasi bagi membolehkan tembakan dilepaskan melalui kipas tanpa merosakkannya.

Dengan enjin berputar berkuasa 130 kuasa kuda (hp), Sopwith Camel mempunyai keupayaan olah gerak yang tinggi dan berjaya mencatat lebih daripada 1,200 kemenangan pertempuran udara, seterusnya menjadikannya simbol kekuatan udara bagi pihak Bersekutu.
Beberapa pesawat lain yang digunakan oleh pihak Bersekutu antaranya termasuk Royal Aircraft Factory S.E.5a yang tangkas dan kukuh, Airco DH.4 yang berfungsi sebagai pesawat pengebom ringan dan pengintip serta Bristol F.2 Fighter yang serba boleh sebagai pesawat serangan dan peninjauan.
Pihak Jerman pula, menampilkan Fokker Dr.I sebagai pencabar utama dengan reka bentuk tiga sayap (triplane) yang meningkatkan daya angkat dan kestabilan ketika berada pada kelajuan rendah.
Pesawat ini direka khusus untuk pertempuran udara jarak dekat atau dogfight sehingga menjadikannya sangat digeruni lawan.
Pesawat ini terkenal kerana ia digunakan oleh Manfred von Richthofen atau lebih dikenali sebagai “Red Baron” iaitu juruterbang lagenda Jerman yang diiktiraf sebagai jaguh terulung dengan 80 kemenangan udara yang disahkan.
Pencapaian ini menjadikan beliau antara juruterbang paling berjaya dalam sejarah peperangan udara.
Selain itu, Jerman turut menggunakan pesawat lain seperti Albatros D.III yang mempunyai badan aerodinamik dengan sayap berkembar yang dikuasakan dengan enjin Mercedes serta Pfalz D.III yang terkenal dengan struktur teguh dan kebolehan menjunam laju.
Apabila Perang Dunia Kedua meletus, teknologi pesawat terbang sedang berada dalam fasa berkembang dengan pantas. Pesawat seperti Supermarine Spitfire muncul dengan reka bentuk sayap elips aerodinamik.
Bentuk ini mampu meningkatkan kestabilan dan kelajuan menjadikan pesawat ini memainkan peranan penting dalam pertempuran Britain pada 1940.
Pesawat lain yang digunakan oleh Pihak Bersekutu termasuk Hawker Hurricane yang juga digunakan semasa Pertempuran Britain, Lockheed P-38 Lightning dengan reka bentuk dwi-ekor unik untuk operasi jarak jauh dan Boeing B-17 Flying Fortress sebagai pesawat pengebom strategik jarak jauh.

Pihak Paksi pastinya tidak mahu ketinggalan. Messerschmitt Bf 109 pula menjadi tulang belakang Luftwaffe (tentera udaraJerman) dengan enjin Daimler-Benz berkuasa tinggi dan mempunyai kelajuan melebihi 600 kilometer sejam (km/j).
Jauh di sebelah medan Pasifik, Jepun sebagai salah satu ahli utama Paksi mendominasi suasana peperangan dengan menggunakan pesawat Mitsubishi A6M Zero.
Pesawat ini berkemampuan untuk terbang dalam jarak operasi luar biasa bagi membolehkan ia melakukan serangan jauh ke hadapan.
Walaupun Zero unggul dari segi kelincahan, ketiadaan perisai menjadikan ia mudah musnah bila taktik musuh diperbaharui.
Selain Zero, Jepun juga menggunakan pesawat jenis lain seperti Nakajima Ki-43 Oscar dan Kawasaki Ki-61 Hien bagi menyokong operasi ketenteraan di Asia dan Pasifik sebelum mereka menyerah kalah pada 1945.
Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, dunia memasuki fasa baharu peperangan udara apabila pesawat jet mula mendominasi ruang angkasa.
Pesawat F-86 Sabre dimiliki Amerika Syarikat (AS) dan pesawat MiG-15 pula dipunyai Kesatuan Soviet (KS) muncul sebagai ikon era ini.
F-86 Sabre memperkenalkan sayap sapu ke belakang untuk mengurangkan seretan supaya dapat menjadikannya lebih pantas dan lincah.
Pesawat ini dilengkapi enam mesingan dan radar AN/APG-30 yang meningkatkan ketepatan tembakan.
Sementara itu, MiG-15 pula memiliki kelajuan sekitar 1,075 km/j, sedikit kurang daripada F-86 Sabre yang mencatat kira-kira 1,100 km/j.
Pesawat ini dikuasakan dengan enjin turbojet dan dipasang dengan meriam berat yang mampu melumpuhkan lawan dalam sekali tembakan.
Kedua-dua pesawat ini bertembung dalam Perang Korea (1950-1953) yang menjadi simbol persaingan teknologi awal era Perang Dingin dan asas kepada evolusi pesawat tempur moden.
Dalam dekad 1960-an, dunia menyaksikan kemunculan F-4 Phantom II daripada AS iaitu pesawat enjin berkembar yang dilengkapi radar jarak jauh serta mampu membawa peluru berpandu berpandu radar AIM-7 Sparrow.
Pesawat yang berkeupayaan dalam melaksanakan pelbagai peranan ini digunakan secara meluas dalam Perang Vietnam hingga menjadikannya antara pesawat paling berpengaruh dalam abad ke-20.
Dalam tempoh sama, KS membangunkan MiG-21 iaitu sebuah jet ringan, lincah dengan kos efektif. Pesawat ini terkenal kerana mudah dioperasikan, murah diselenggara dan mampu mencapai kelajuan sekitar Mach 2.
Kelebihan ini melayakkan pesawat ini menjadi antara jet tempur paling banyak dihasilkan sepanjang sejarah yang digunakan oleh lebih 60 negara di seluruh dunia.
Menjelang 1970-an dan 1980-an, generasi keempat pesawat tempur memperkenalkan ciri olah gerak tinggi, avionik moden dan memiliki keupayaan pelbagai peranan.
AS melancarkan F-15 Eagle yang digelar sebagai Raja Langit kerana mempunyai nisbah kuasa-ke-berat yang sangat tinggi.
Keadaan ini merujuk nisbah daya tujahan enjin berbanding berat pesawat yang membolehkan F-15 memecut dengan pantas sehingga Mach 2.5 dan melaksanakan olah gerak yang agresif sehingga dapat membuat pendakian menegak pantas.
KS pula membalas dengan Sukhoi Su-27 yang memiliki reka bentuk aerodinamik untuk olah gerak ekstrem seperti “Cobra maneuver” serta radius tempur yang luas.
Seterusnya muncul F-16 Fighting Falcon yang dibangunkan AS. Pesawat ini memperkenalkan sistem terbang-dengan-wayar (fly-by-wire) sepenuhnya bagi menjadikan kawalan pesawat lebih responsif dan stabil dalam olah gerak tajam.
Memasuki generasi 4.5, penambahbaikan utama merangkumi radar AESA (Active Electronically Scanned Array), sistem peperangan elektronik yang canggih, berkeupayaan serangan jitu serta integrasi rangkaian maklumat tempur dapat diperhatikan banyak dipasang pada pesawat tempur fasa ini.

Pesawat seperti Eurofighter Typhoon, Dassault Rafale dan Sukhoi Su-35 merupakan contoh yang mewakili gabungan kelajuan, keupayaan selinap separa dan sistem persenjataan moden.
Era generasi kelima dicirikan dengan penekanan kepada ciri selinap penuh, integrasi sensor menyeluruh dan rangkaian data masa nyata.
AS tampil dengan F-22 Raptor iaitu pesawat pertama di dunia yang direka khusus untuk selinap dengan kemampuan “super cruise” iaitu terbang dengan kelajuan supersonik tanpa penggunaan pembakar lanjut.
F-35 Lightning II pula diperkenalkan sebagai pesawat yang canggih dengan konfigurasi pelbagai peranan termasuk keupayaan berlepas di landasan pendek dan operasi atas kapal induk AS.
Dalam perkembangan selari, China memperkenalkan Chengdu J-20, pesawat selinap jarak jauh, manakala Rusia membangunkan Sukhoi Su-57 yang menyatukan kelajuan, kelincahan dan keupayaan penyusupan radar.
Selain pesawat tempur utama, pelbagai jenis pesawat lain juga memainkan peranan penting dalam pertempuran. Pesawat pengintip strategik seperti U-2 Dragon Lady dan SR-71 Blackbird berfungsi mengumpul maklumat pada altitud yang hampir mustahil dicapai oleh pesawat biasa.
SR-71 misalnya, mampu terbang melebihi Mach 3 pada ketinggian 25,900 meter menjadikannya pesawat paling laju dalam sejarah operasi.
Pesawat serangan darat A-10 Thunderbolt II pula direka khusus untuk memusnahkan kereta kebal dengan meriam GAU-8 Avenger yang boleh memuntahkan ribuan peluru seminit.
Pesawat tempur elektronik EA-18G Growler pula berperanan menjejaskan radar dan komunikasi musuh supaya dapat memberi ruang kepada serangan utama.
Hakikatnya, dunia penerbangan tempur tidak hanya didominasi oleh kuasa besar tradisional seperti AS dan Rusia. Negara seperti Turkiye, Korea Selatan, India dan Sweden turut menampilkan pesawat tempur yang mempunyai kehebatan dan keupayaan tersendiri, hasil gabungan kejuruteraan tempatan dan inovasi teknologi strategik.
Sumbangan mereka bukan sahaja memperkayakan landskap persaingan aeronautik global, malah memperkukuh kebolehan pertahanan serantau secara berkesan dan berdikari.
Peperangan mungkin sarat dengan kehancuran dan derita bagi mangsa, namun di sebalik kerakusan konflik itu, tanpa dapat dinafikan, muncul lonjakan luar biasa dalam bidang teknologi dan kejuruteraan aeronautik.
Ketegangan global telah merangsang perlumbaan sengit dalam pembangunan pesawat tempur tercanggih yang bukan sahaja menjadi simbol kekuatan dan kemegahan negara-negara kuasa besar, malah menjadi pemangkin kepada kemajuan dalam usaha mengekalkan keamanan strategik di ruang angkasa dunia.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.