PEMBENTUKAN Kerajaan Perpaduan di Malaysia merupakan langkah politik yang signifikan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebagai salah satu komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan, telah memainkan peranan strategik dalam memastikan kestabilan politik di peringkat Persekutuan.
Berdasarkan pengumuman oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 24 November 2022, penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertimbangan beberapa faktor penting daripada aspek politik, perlembagaan, mahupun keperluan untuk kestabilan negara.
KEPATUHAN KEPADA RAJA BERPERLEMBAGAAN
Yang pertama, keputusan GPS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan adalah berasaskan prinsip kepatuhan kepada sistem Raja Berperlembagaan, sebagaimana terkandung dalam Rukun Negara.
Nasihat dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, agar membentuk Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negara menjadi sebab utama GPS bersetuju.
Abang Johari menegaskan bahawa GPS menghormati dan akur kepada nasihat ini, mencerminkan prinsip keutamaan kebangsaan yang mengatasi kepentingan politik sempit.
Sebagai sebuah gabungan yang memegang teguh kepada keluhuran perlembagaan, tindakan ini memperkukuh imej GPS sebagai sebuah entiti politik yang menghormati institusi diraja dan struktur perlembagaan negara.
PENYELESAIAN KEMELUT POLITIK NEGARA
Yang kedua, situasi pasca PRU-15, Malaysia menghadapi ketidakstabilan politik apabila tidak ada gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Dalam situasi ini, penyertaan GPS sebagai salah satu komponen utama Kerajaan Perpaduan membawa kestabilan politik yang sangat diperlukan.
Dengan memiliki 23 Ahli Parlimen, GPS adalah blok terbesar dari Borneo yang mampu memberi sumbangan signifikan kepada kestabilan Kerajaan Persekutuan.
Langkah ini bukan sahaja memastikan kerajaan yang lebih kukuh tetapi juga mengelakkan ketidakpastian politik yang boleh mengganggu proses pentadbiran dan pembangunan negara.
MEMBUKA LEMBARAN BAHARU DENGAN DAP
Yang ketiga, apabila isu hubungan tegang antara GPS dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), khususnya berkaitan kenyataan yang pernah menyinggung perasaan rakyat Sarawak, turut disentuh dalam keputusan ini.
Permohonan maaf terbuka oleh pemimpin kanan DAP, termasuk Lim Guan Eng dan Anthony Loke, menunjukkan kesediaan kedua-dua pihak untuk berdamai dan membuka lembaran baharu demi kesejahteraan negara.
Abang Johari menyifatkan permohonan maaf ini sebagai bukti bahawa GPS berada di landasan yang betul.
Pendekatan GPS yang terbuka dan berjiwa besar dalam menerima permohonan maaf ini memaparkan kebijaksanaan politik yang menekankan perpaduan dan kerjasama di peringkat nasional.
Namun di peringkat negeri hubungan GPS dan DAP masih di peringkat kerajaan dan pembangkang serta kadang kala bersifat ambivalen.
PELUANG MEMPERJUANGKAN KEPENTINGAN SARAWAK
Yang keempat, penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan memberi GPS peluang lebih besar untuk memperjuangkan agenda pembangunan dan autonomi Sarawak, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dengan pengiktirafan peranan GPS sebagai blok terbesar di Borneo, gabungan ini berpeluang menuntut pemindahan kuasa yang lebih konkrit dalam bidang seperti pendidikan, kesihatan dan pentadbiran sumber asli.
Jawatan Timbalan Perdana Menteri yang diisi oleh wakil Sarawak, iaitu Dato Sri Fadillah Yusof, adalah salah satu pencapaian penting yang membuktikan kehadiran GPS dalam Kerajaan Perpaduan membawa manfaat langsung kepada Sarawak.
Begitu juga jawatan menteri penuh strategik seperti Kementerian Peralihan Tenaga dan Guna Awam, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perpaduan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Terdapat enam jawatan timbalan Menteri disandang oleh pemimpin GPS di Kementerian Ekonomi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Digital.
Pendekatan GPS tidak bersyarat
Yang kelima, keputusan GPS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan tanpa meletakkan syarat menunjukkan komitmen mereka terhadap perpaduan nasional.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa GPS tidak mengutamakan kepentingan sempit tetapi meletakkan keutamaan kepada kestabilan dan kemajuan negara secara keseluruhan.
Misalnya, walaupun terdapat perbincangan mengenai pengisian jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk wakil Sabah dan Sarawak, GPS tidak meletakkan pelantikan ini sebagai prasyarat untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, GPS bersikap terbuka dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan akhirnya menyaksikan pelantikan Fadillah, seorang wakil GPS, sebagai Timbalan Perdana Menteri dari Borneo.
Situasi ini membuktikan bahawa GPS tidak menggunakan isu jawatan untuk mengugut atau menekan pihak lain, tetapi memilih untuk berunding secara harmoni demi memastikan hubungan yang baik dalam Kerajaan Perpaduan.
Pendekatan ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen GPS terhadap perpaduan, tetapi juga memupuk suasana politik yang lebih stabil dan matang.
SOKONGAN KEPADA ANWAR
Yang keenam, sebagai Perdana Menteri yang baharu dilantik pada waktu itu, Anwar membawa naratif reformasi dan inklusiviti dalam pentadbiran.
Penyertaan GPS ke dalam Kerajaan Perpaduan juga mencerminkan keyakinan gabungan ini terhadap kepimpinan Anwar untuk membawa perubahan positif kepada Malaysia, termasuk Sarawak.
Anwar juga membawa naratif inklusiviti dengan memberi keutamaan kepada isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menjadi salah satu agenda utama GPS.
Dalam beberapa kenyataan rasmi, Anwar menegaskan bahawa pentadbirannya komited untuk merealisasikan MA63 bagi memastikan hak dan autonomi negeri Sarawak dan Sabah dihormati.
Antaranya terdapat usaha pemindahan kuasa pengurusan gas kepada Sarawak. Hal ini dapat dilihat dalam tempoh pentadbiran Anwar, satu langkah besar telah diambil pada Januari 2023.
Ini merupakan salah satu tuntutan penting MA63 yang akhirnya direalisasikan.
Meskipun ini membawa proses yang kompleks, memerlukan timbang tara dalam isu kuasa Kerajaan Persekutuan dan negeri maka kompromi kedua-dua pihak perlu disantuni.
Langkah ini mampu memperkukuh keyakinan GPS terhadap komitmen Anwar untuk menyelesaikan isu-isu yang lama tertangguh antara Kerajaan Persekutuan dan negeri Sarawak.
KESIMPULAN
Keputusan GPS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan didorong oleh beberapa faktor utama seperti kepatuhan kepada Raja Berperlembagaan, keperluan untuk menyelesaikan kemelut politik dan peluang memperjuangkan kepentingan Sarawak di peringkat nasional.
Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan GPS sebagai pemimpin politik yang pragmatik tetapi juga membuka peluang untuk merealisasikan agenda pembangunan Sarawak melalui kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan Persekutuan.
Pendekatan yang inklusif dan komitmen terhadap perpaduan nasional, GPS berada di landasan yang tepat untuk menjadi model dalam politik matang dan bertanggungjawab di negara ini.
Kini, setelah dua tahun, tiba masanya untuk menilai hubungan antara GPS dan Kerajaan Perpaduan, mengenal pasti cabaran, serta mencadangkan langkah-langkah untuk memperbaharui hubungan ini demi manfaat bersama.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).