SELEPAS Sarawak mencapai kemerdekaan pada 1963 menerusi pembentukan Malaysia, pemimpin Islam Sarawak mula melihat bagaimana untuk membangunkan dan memperkasakan Islam di Sarawak. Ini kerana sejak dibawah pentadbiran penjajah Barat termasuk juga Jepun, budaya yang bertentangan dengan Islam telah bercampur baur dalam amalan masyarakat Islam.
Oleh itu, usaha diperlukan untuk membersihkan amalan masyarakat Islam daripada amalan yang tidak Islam ini dan seterusnya memperkasakan Islam semula. Walaupun ketika itu Majlis Islam telah ditubuh sejak zaman British, peranan institusi ini lebih kepada usaha pentadbiran. Atas sebab itu usaha dilipatgandakan untuk menubuh sebuah persatuan untuk membantu badan-badan Islam yang lain dalam pembangunan Islam di Sarawak.
Permulaan
Atas sebab itu, sasaran utama dalam hal ini ialah memperkemaskan pemahaman Islam sebenar dalam kalangan generasi muda Islam. Dalam hal ini Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (PKIS) tampil untuk menyahut seruan ini. Persatuan ini telah menjemput pelajar Islam dari Tingkatan 5 dan 6 untuk mengikuti kursus agama selama dua minggu. Usaha ini menghadapi cabaran besar kerana ada yang tidak mahu mengikut program keagamaan ini. Mereka berpendapat usaha ini tidak berfaedah.
Namun, usaha bersungguh-sungguh PKIS untuk mengadakan kursus Islam dalam kalangan pemuda Islam ini akhirnya berjaya dilaksanakan dari 24 April hingga 2 Mei 1968. Beberapa tokoh ulama dan akademik Islam telah memberi ceramah dalam kursus tersebut. Antaranya adalah Mufti Sarawak ketika itu, Datuk Abdul Kadir Hassan, Mohd Mortadza Daud dan Fathi Duet.
Tokoh politik seperti Datuk Patinggi Tun Abdul Rahman Ya’akub dan (Tun Pehin Seri) Abdul Taib Mahmud juga terlibat memberi ceramah pada kursus tersebut. Seorang tokoh akademik bidang sians dari Semenanjung Malaysia iaitu Dr Ariffin Suhaimi juga telah dijemput untuk memberi ceramah kepada pelajar-pelajar Islam ini. Dr Ariffin Suhaimi telah memberi ceramah mengenai kaitan tauhid dengan sains.
Kursus bersifat komprehensif tentang Islam ini merangkumi pelbagai perkara seperti daripada aspek ibadahnya, perundangan, ekonomi, kemasyarakatan, sains dan pelbagai lagi aspek kehidupan. Dengan ada kursus ini, maka pelajar-pelajar ini mula sedar akan penting agama Islam dipelihara dan perkasakan di Bumi Kenyalang.
Kongres Islam
Kursus agama ini dipanjangkan lagi dengan Kongres Islam Malaysia Timur dari 3 Mei 1968 hingga 5 Mei 1968. Bermulanya persidangan kongres ini, maka dicadangkan penubuhan sebuah pertubuhan Islam yang diberi nama BINA.
Singkatan pertubuhan dibaca terbalik iaitu Angkatan Nahdatul Islam Bersatu (BINA). BINA secara rasmi didaftarkan pada 3 April 1969. Pada ulang tahun ke-10 BINA, Datuk Abdul Rahman Ya’akub menyatakan bahawa, penubuhan BINA adalah desakan dan harapan sekumpulan pelajar Islam Sarawak ketika itu. Oleh itu penubuhan BINA dapat memimpin generasi muda Islam ini dan seterusnya membina satu umat Islam yang akan mempunyai tanggungjawab membela dan memperjuangkan Islam di Sarawak.
Kata-kata Datuk Abdul Rahman Ya’akub ini menunjukkan bahawa, selain pemimpin Islam yang sedar tentang kepentingan Islam, generasi muda juga mula sedar bahawa perlu mereka berganding bahu untuk memperkasakan Islam di Sarawak. Ini kerana mereka adalah generasi baharu yang akan memikul tanggungjawab untuk memelihara Islam di Sarawak.
Pada hari ini, ramai yang tidak mengenali pertubuhan yang dinamakan BINA. Malah ia seolah-olah tidak wujud lagi, dan hanya tercatat dalam akhbar tempatan pada era 1970-an. Namun, pertubuhan ini telah dijenamakan semula pada 1993. Hari ini BINA dikenali sebagai Harakah Islamiah atau secara ringkasnya HIKMAH.
Penubuhan Cawangan
Berbalik dengan BINA yang dinyatakan awal tadi, selepas penubuhannya, badan ini telah merangka perancangan untuk memperkasakan pembangunan Islam di Sarawak. Cawangan pertama BINA diwujudkan di Kuching. Seterusnya pada 1970-an, beberapa cawangan ditubuhkan seperti di Simanggang, Kalaka, Sibu, Miri, Simunjan, Sarikei, Lawas, Limbang, Bintangor, Bintulu, Selalang, Belawai, Rejang, Baram, Lundu, Betong, Daro, Sundar, Mukah, Kuala Tatau, Igan, Sibuti, Sebuyau, Serian, Lutong, Kabong dan Song. Dua cawangan lain pula ditubuhkan di Maktab Perguruan Rejang dan Universiti Malaya.
Kerjasama
Pada awal penubuhan BINA ini, ia mendapat sokongan daripada pertubuhan Islam dunia seperti Rabitatul Alamil Islamiah. Pertubuhan dunia ini berpusat di Makkah dan digerakkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Pertubuhan ini telah ditubuh sejak 1962 yang bertujuan untuk mengembangkan syiar Islam berdasarkan kepada nilai-nilai sederhana yang akan mengalakkan keamanan, toleransi dan kasih sayang.
Selain itu, beberapa negara Islam juga memberi bantuan untuk memperkasakan BINA. Antara negara Islam yang membantu BINA pada peringkat awal dan seterusnya adalah Arab Saudi, Libya, Kuwait, Qatar dan Oman serta beberapa lagi negara Islam yang lain. Matlamat penubuhan BINA ini bukan semata-mata dalam soal keagaman dan dakwah tetapi meluas meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia seperti kebajikan masyarakat, pembangunan ekonomi dan kemajuan pendidikan berlandaskan ajaran agama Islam.
Kepemimpinan
Dari segi organisasinya, BINA diketuai seorang Yang Dipertua atau presiden. Yang Dipertua pertama untuk pertubuhan ini ialah Datuk Abdul Rahman Ya’akub yang ketika itu juga adalah Ketua Menteri Sarawak. Beliau pula dibantu oleh seorang timbalan presiden, empat naib presiden, setiausaha agung, bendahari dan ketua penerangan serta 15 ahli jawatankuasa.
Timbalan presiden pertama BINA adalah Liliah Salleh. Empat naib presidennya pula adalah Hanis Mahlie, Mohd Mortadza Daud, Kadri Jili dan Lorna Othman. Ahli jawatankuasa BINA ini akan memegang jawatan selama dua tahun sebelum diadakan pemilihan semula oleh ahli-ahli BINA.
Penubuhan BINA ini merupakan salah satu pengisian kemerdekaan dilakukan oleh pemimpin Islam di Sarawak. BINA kemudiannya telah menunjukkan peranan yang memberangsangkan untuk memperkasakan Islam sehingga Sarawak mampu membangun Islam bersama dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.