PETRA JAYA: Pemahaman terhadap sejarah penting bagi membolehkan masyarakat mengenali perjalanan pembentukan bangsa, negeri dan negara selain memahami identiti serta nilai yang menyatukan masyarakat.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sejarah bukan sekadar catatan mengenai perkara yang berlaku pada masa lalu, sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses memahami identiti sesebuah masyarakat.
Katanya, sejarah perlu dilihat sebagai ilmu yang membantu masyarakat memahami perjalanan pembentukan sesuatu bangsa dan negara.
“Sejarah amat dekat dengan kehidupan seharian kita. Dengan sejarah kita boleh mengenali siapa kita sebagai sebuah masyarakat, satu bangsa, suatu negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Negarawan pada Majlis Syarahan Negarawan 2026 di Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini.
Tun Wan Junaidi berkata, pemahaman sejarah turut penting dalam pembentukan negara bangsa kerana masyarakat mempunyai latar belakang, pengalaman dan identiti yang berbeza.
Menurutnya, penelitian terhadap sejarah dapat membantu masyarakat memahami perjalanan yang membentuk identiti mereka serta melihat pengalaman yang dikongsi bersama.
“Ini sebenarnya sejarah boleh mencerminkan perjalanan kita sebagai satu bangsa, sebagai individu dan sebagai sebuah negara bangsa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sejarah tidak seharusnya berhenti sebagai ingatan dan cerita masa silam semata-mata, sebaliknya perlu dikaji sebagai ilmu tamadun sesebuah bangsa.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat, khususnya generasi muda, mendalami sejarah melalui penelitian dan kajian supaya pemahaman terhadap identiti serta perjalanan bangsa tidak hanya bergantung kepada satu-satu tafsiran.
Majlis Syarahan Negarawan 2026 dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Pustaka Negeri Sarawak, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak dan Ikatan Graduan Melayu Sarawak.
Program berkenaan merupakan antara tiga program utama sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, selepas Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 pada 29 September hingga semalam.





