
SALAH satu mercu tanda bandar raya Kuching hari ini ialah sebuah masjid besar yang terletak di tebing sungai Sarawak bersebelahan dengan kampung-kampung Melayu dan Limbungan kapal Brooke.
Pada hari ini masjid ini dikenali sebagai Masjid Bandaraya Kuching.
Sebelum dibina masjid negeri Sarawak yang terletak di Petra Jaya, masjid ini menjadi masjid negeri yang telah mengalami pelbagai fasa pembinaannya.
Pembinaannya melambangkan satu itizam penduduk Melayu untuk menegakkan dan mempertahankan agama Islam di Kuching semasa pemerintahan Brooke.
Peranan pembesar
Sebenarnya orang Islam di Kuching telah memiliki masjid mereka sendiri sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak.
Ini dibuktikan apabila James Brooke sampai ke Sarawak pada 1839, beliau mencatatkan bahawa terdapat sebuah masjid kecil terletak pada tapak masjid hari ini.
Ketika itu Sarawak masih lagi dibelenggu dengan kebangkitan penduduk Sarawak melawan Brunei, dan hanya beratus sahaja penduduk Islam yang berada di Kuching ketika itu.
Penduduk Islam secara beransur-ansur datang ke Kuching bersama ketua mereka selepas James Brooke menjadi pemerintah di Sarawak.
Ketika itu ketua tertinggi masyarakat Melayu Sarawak iaitu Datu Patinggi Ali telah berusaha untuk membina masjid lebih besar bagi menampung pertambahan penduduk Islam di Sarawak.
Usaha beliau ini seterusnya digerakkan pula oleh anak-anak Datu Patinggi Ali seperti Datu Bandar Mohammad Lana.
Pada 1848, Datu Bandar Muhammad Lana telah memohon untuk mendapat bantuan kewangan bagi tujuan membina masjid yang lebih besar di tapak masjid lama.
Usaha beliau ini mendapat cabaran kerana masalah untuk mendapat bantuan kewangan agak sukar.
Namun berkat usaha gigih dan murni beliau ini serta sokongan umat Islam di Kuching, maka masjid baharu berjaya didirikan pada 1858.
Masjid awal yang dibina ini menggunakan bahan-bahan daripada kayu. Masjid ini yang bertiang batu dan berdinding kayu serta berlantai kayu dapat memuatkan seramai kira-kira 3,000 jemaah.
Imam
Masjid yang dibina ini mula menjadi kawasan tumpuan penduduk Islam, dan seorang imam dilantik untuk mengendalikan masjid tersebut.
Datu Patinggi Abdul Gapor telah dilantik sebagai imam pertama bagi masjid tersebut. Beliau kemudiannya diganti oleh Bua Hassan (Bolhassan?) sebagai imam pada 1854.
Kebanyakan imam bagi masjid ini terdiri daripada keluarga Datu Patinggi Ali.
Selain Bua Hassan, yang pernah menjadi imam dari keturunan Datu Patinggi Ali ialah Muhammad Aim atau Mataim iaitu imam keempat.
Imam ketiga pula adalah Abdul Kassim yang juga mempunyai pertalian dengan Datu Patinggi Ali.
Pengubahsuaian
Apabila Sarawak semakin makmur dan penduduknya berambah, usaha telah digerakkan untuk melakukan pengubahsuaian masjid tersebut.
Usaha mengubah suai masjid ini juga melibatkan pembesaran masjid tersebut. Usaha mengubah suai masjid ini telah siap pada 1880.
Masjid yang baharu diubah suai ini mengantikan kayu dengan simen.
Ketika itu simen mula menjadi bahan binaan utama untuk membina bangunan kerajaan di Kuching.
Oleh itu dinding dan lantainya dibina dengan simen ini.
Lantai masjid ini dinaikkan sedikit daripada aras jalan untuk mengelak kesan banjir ke atas masjid ini.
Pengaruh luar
Masjid yang diubah suai ini telah mengalami perubahan bentuk seni binannya.
Bumbung masjid ini menyerupai seni bina Masjid Demak, Jawa dan Kampung Laut, Kelantan.
Bumbungnya berbentuk piramid menegak ke atas. Reka bentuk masjid ini mencerminkan bagaimana ada pengaruh luar dari Jawa dan Tanah Melayu ke atas senibina masjid di Sarawak.
Seni bina ini kekal sehinggalah pada 1930 apabila terdapat satu lagi pengubahsuaian dilakukan ke atas masjid ini.
Usaha untuk melakukan perubahan ini digerakkan sejak 1929. Akhirnya pengubahsuaain masjid ini telah lengkap pada 1930.
Perubahan
Ciri utama perubahan masjid ini ialah mengantikan bahagian bumbungnya dengan kubah bergaya Mamluk Mesir.
Tujuan untuk mengubah gaya ini tidak banyak diketahui.
Ada yang mengaitkan dengan trend semasa yang mempengaruhi gaya seni bina ini.
Sementara itu, bagi Masjid Bandaraya Kuching, bahan yang digunakan adalah gabungan konkrit tuang di tempat untuk asas kubah, dinding bata, dan keluli untuk struktur kubah.
Gabungan bahan dan cara pembinaan ini untuk memastikan masjid itu kukuh dari segi strukturnya.
Selepas itu tidak lagi berlaku perubahan kepada struktur seni bina masjid tersebut sehinggalah tamatnya Perang Dunia Kedua.
Dalam zaman perang ini masjid ini masih lagi kukuh dan tidak diganggu oleh kesan peperangan.
Perjuangan
Memasuki era penjajahan British, masjid ini menjadi simbol perpaduan bagi golongan anti-penyerahan.
Masjid ini menjadi salah satu pusat yang mengerakan demontrasi bantahan kepada British.
Pada awal 1947, beribu-ribu umat Islam telah berhimpun di masjid tersebut untuk membantah usaha menghalang Anthony Brooke masuk ke Sarawak.
Ketika itu imam Bolhassan membaca doa untuk memohon agar hak kaum Bumiputera dipelihara.
Beliau juga menasihatkan umat Islam harus mematuhi undang-undang dan peraturan untuk mencapai matlamat dan tujuan perjuangan mereka.
Kutipan derma
Selepas tamatnya gerakan anti-penyerahan, masjid ini meneruskan aktivitinya seperti biasa.
Namun usia masjid ini yang menjangkau puluhan tahun menyebabkan banyak kerosakan kepada masjid tersebut.
Oleh itu pada 1958 Lembaga Amanah Masjid mengambil langkah untuk mengutip derma bagi tujuan membaiki masjid ini.
Namun usaha ini tidak berjaya dijalankan kerana masalah kewangan.
Apabila Malaysia dibentuk, masjid ini memasuki era baharu apabila usaha-usaha dibuat untuk membina masjid baharu mendapat perhatian dari Kerajaan Persekutuan.
Usaha ini disuarakan dan digerakan oleh Lembaga Amanah Masjid.
Atas sebab itu maka Jawatankuasa Kutipan Derma Masjid tersebut ditubuhkan.
Pada sekitar Mei 1965 anggota keselamatan Malaysia dari Regimen di-Raja Batalion Ketiga telah memberi derma sebanyak $1,000 kepada masjid tersebut.
Selain pasukan angkatan tentera, sumbangan juga datang dari persatuan dan individu untuk membina masjid tersebut.
Usaha membina masjid baharu dipersetujui oleh Perdana Menteri Malaysia, Tuanku Abdul Rahman.
Beliau telah meletakkan batu asas pembinaan masjid tersebut pada 1966.
Roboh
Masjid lama tersebut telah dirobohkan oleh Squadran Jurutera dari Regimen di-Raja Batalion Ketiga pada 5 Februari 1967, dan selesai pada Mei 1967.
Bulan berikutnya pembinaan masjid itu digerakkan.
Masjid ini siap pada pertengahan 1968.
Perasmian masjid baharu ini dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Tunku Ismail Nasiruddin Shah ibni Al-marhumSultan Zainal Abidin.
Kali ini seni bina masjid ini mengunakan gaya Mughal yang hampir menyerupai Masjid Badshahi, Lohore, Pakistan.
Sejarah Masjid Bandaraya Kuching telah mengalami banyak fasa dan meniti sejarah yang pelbagai.
Namun masjid ini tetap utuh menjadi pusat penting aktiviti masyarakat Islam di bandar raya Kuching.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).