APABILA kita menjejak penulisan mengenai sejarah Sarawak, naratifnya berdasarkan kepada
penulis Barat.
Oleh itu sejarahnya hanya mengetengahkan orang Barat.
Peranan mereka ini dikarang sebagai orang penting yang dikatakan ‘mentamadunkan’ penduduk Sarawak.
Hal ini diceritakannya dengan penuh teliti dan merendahkan orang tempatan yang menentang pentadbiran atau yang tidak sependapat dengan mereka.
Oleh itu, kebanyakan naratif penulisan sejarah Sarawak ini akan berpusat pada kerajaan Brooke yang digambarkan sebagai pemerintahan penyayang dan bertamadun.
Orang tempatan yang menyokong mereka juga ditulis sebagai pengikut setia dan diwarnakan sebagai tokoh yang baik.
Walaupun ada kala dikatakan mempunyai perwatakan yang lemah.
Hal ini boleh kita lihat dengan wacana saya sebelum ini mengenai Ali Wallace yang tidak banyak
ditulis.
Beliau hanya dianggap sebagai orang bawahan sahaja dan membantu Alfred Wallace
dalam kajian di alam Melayu. Atas sebab itu kita tidak tahu banyak mengenai Ali Wallace
terutama asal-usulnya.
Beliau ditonjol sebagai pembantu tanpa biodata yang lengkap.
Oleh itu, Ali Wallace tidaklah diketahui banyak latar belakangnya. Itu yang dimaksudkan awal tadi peranan orang tempatan tidak diberi gambaran menyeluruh dan besar dalam naratif penulisan orang Barat.
Yang menentang kerajaan Brooke pula dianggap sebagai jahat dan watak mereka digelapkan sahaja kerana melakukan kegiatan pelanunan, pemerasan dan pembuli.
Sifat-sifat ini dianggap oleh kerajaan Brooke sebagai orang tidak bertamadun dan ganas.
Ini merupakan pandangan sentrik Barat yang cuba merendahkan ketamadunan orang tempatan di Sarawak.
Ketamadunan
Masyarakat Sarawak sudah mempunyai tamadun mereka sendiri sebelum kedatangan
Sejarah digelapkan Brooke.
Aspek ketamadunan ini boleh dilihat daripada aspek wujudnya hubungan perdagangan dan diplomasi antarabangsa antara Sarawak dan kerajaan luar seperti dinasti-dinasti di China, kerajaan-kerajaan di India,
pusat kerajaan di Tanah Jawa, Siam, Vietnam dan pusat perdagangan di Kepulauan Melayu yang lain.
Kemunculan kerajaan ini pernah dinyatakan oleh Amin Sweeny.
Hal ini dikembangkan lagi oleh Dato Sanib Said dalam memberi pentafsiran lebih mendalam mengenai kerajaan Santubong, Kalka, Samarahan dan Sadong serta Saribas.
Kajian beliau ini meyakinkan bahawa sudah ada ketamadunan di Sarawak.
Hubungan dagang yang dinyatakan tadi telah terjalin dengan baik.
Hal ini dibuktikan oleh ahli arkeologi akan penemuan tinggalan barang dagangan seperti serpihan tembikar dan wang syilling tamadun China.
Ketamadunan di Sarawak khususnya di Santubong memaparkan pula wujudnya industri peleburan bijih
besi di Bongkisam.
Sistem pentadbiran juga wujud di Sarawak dengan ada kerajaan-kerajaan pelabuhan di beberapa kawasan.
Di Kalaka sudah ada pemimpin wanita yang disebut dalam Syair Tarsilah Negeri Saribas, manakala Saribas pula sudah ada pemerintah mereka sendiri iaitu Temenggung Abdul Kadir.
Kemudian datangnya Datu Gudam menjadi pemerintah di kawasan tersebut.
Peranan dikecilkan
Hal ini mula dikaburkan pula apabila pegawai Brooke menulis mengenai sejarah Sarawak.
Mereka merendahkan budaya masyarakat tempatan.
Hal ini boleh disaksikan apabila mereka membuat naratif pertempuran Bating Meru pada 1849.
Pertempuran ini meletakkan satu garis hitam putih dalam penulis sejarah dengan heronya
adalah orang Barat dan jahatnya pula adalah orang tempatan yang dianggap lanun.
Penulis-penulis zaman Brooke banyak melakukan naratif seumpama itu termasuklah S. Baring-Gould dan C. A. Bampfylde yang menulis buku bertajuk A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs 1839-1908.
Selain menceritakan tokoh-tokoh besar menentang Brooke sebagai mempunyai perwatakan
tidak baik, kedua-dua penulis ini juga pernah menyebut beberapa nama pemimpin tempatan yang
mempunyai kedudukan di Sarawak.
Antara nama yang disebutkan ini ialah Indra Lila, Indra Pelawan dan Indra Wangsa.
Tiga adik beradik ini merupakan pemerintah di Sungai Lingga.
Baring-Gould dan Bampfylde mewarnakan ketiga-tiga adik beradik ini sebagai watak gelap
dengan menyatakan Indra Wangsa sebagai tokoh yang menyertai lanun orang Melayu di Saribas.
Kisah ketiga-tiga tokoh ini tidak panjang dibincangkan dan tiada usaha untuk mendalamkan peranan mereka ini.
Selain itu, terdapat juga nama dua pemimpin wanita Melayu yang berusia iaitu Dang Isa dan
Dang Ajar dibincangkan oleh kedua-dua penulis ini.
Kedua-dua wanita Melayu ini dinyatakan sebagai pemimpin utama di Lingga dan Saribas.
Mereka berdua juga hanya disentuh sedikit dalam perbincangan dan dibincang sebagai mempunyai perwatakan buruk.
Antara perkara yang disentuh oleh Baring-Gould dan Bampfylde adalah kedua-dua wanita ini sebagai pemimpin kejam dan jahat dan memiliki hamba.
Hanya sedikit pujian dilontar kepada kedua-dua wanita ini iaitu sebagai pemimpin yang berani
dan akan mengetuai mana-mana usaha untuk melawan musuh mereka dari Saribas.
Keberanian kedua-dua tokoh wanita ini digambarkan dengan pakaian lelaki dengan membawa pedang
dan tombak.
Dalam hal ini Dang Ajar digambarkan sebagai memikat hati ketua Kayan bernama
Akam Nipa. Namun demikian kisah Akam Nipa tidak dibincangkan panjang.
Naratif Dang Isa dan Dang Ajar juga hanya dibincangkan pendek.
Mengenai siapa mereka termasuk tiga bersaudara dan Akam Nipa masih lagi tinggal
misteri dalam sejarah Sarawak.
Secara andaian mungkin mereka ini merupakan pemerintah awal di Sarawak yang digelapkan watak
mereka supaya dapat menunjukkan ketinggian peranan orang Barat untuk mentamadunkan orang Sarawak.
Watak lemah
Selain itu, beberapa lagi tokoh yang digelapkan untuk tujuan mentamadunkan orang Sarawak
ditunjukkan seperti Abang Kassim.
Abang Kassim ini diminta oleh Raja James Brooke menggantikan Sharif Sahap sebagai pemerintah Sadong.
Beliau diberi gelaran Datu Bandar tetapi watak beliau digelapkan sebagai seorang pemimpin lemah dan seorang yang jahat.
Seperti tokoh-tokoh lain, Abang Kassim juga tidak ada gambaran sebenar mengenai
peranan tokoh ini dan apakah berlaku kepada beliau kemudiannya.
Keadaan sama berlaku juga ke atas beberapa tokoh Bumiputera lain yang juga dihitamkan
watak mereka.
Aban Jau misalnya pernah dianggap sebagai seorang yang melakukan penghambaan dan
meneruskan usaha memenggal kepala, manakala Lang Endang pula dianggap sebagai pengacau ketenteraman dan sering melanggar peraturan kerajaan Brooke.
Oleh itu sejarah Sarawak ini perlu ditulis semula menerusi kaca mata anak tempatan.
Penulisan ini boleh mengubah perspektif bahawa orang Sarawak juga mampu melakar sejarah
yang gemilang.