SATU kebiasaan di negara kita apabila munculnya bulan Ogos dan masuk September, banyak ceramah sejarah tentang kemerdekaan diadakan. Ketika itu, hidupnya program-program kemerdekaan untuk meraikan Hari Kemerdekaan.
Memang patutlah kita mengingatkan kemerdekaan pada bulan-bulan ini. Hal ini kerana bulan-bulan ini merupakan simbol perjuangan dan pengorbanan anak watan kita untuk bebas merdeka. Sejak dikongkong oleh penjajah, kita sukar bergerak maju. Pihak penjajah mempunyai polisi terhad untuk memajukan anak bangsa.
Malahan, penjajah menekan suara-suara bangsa dijajah untuk meningkatkan kemajuan bangsa dan tanah air mereka. Oleh hal sedemikian itu, bangsa dijajah biasa ketinggalan dalam pembangunan sosial dan kemajuan ekonomi.
Keadaan Sarawak semasa dijajah misalnya, amat terhad dalam pembangunan sosial dan ekonomi. Masih ramai penduduk yang buta huruf dan hanya bekerja di peringkat rendah dalam kerangka ekonomi sara diri. Manakala hasil bumi Sarawak pula banyak dikuasai oleh bangsa yang menjajah kita. Oleh sebab itu, salah satu usaha untuk memajukan penduduk Sarawak adalah kemerdekaan dan peluang ini terbuka luas dengan rancangan Malaysia.
Kesan pembentukan Malaysia menjadi satu wadah merdeka yang membolehkan anak Sarawak menjadi pemain utama untuk memandu Sarawak dalam kemajuan pelbagai sektor. Dengan kata lain, perjuangan kemerdekaan ini merupakan titik mulanya kita mengorak langkah kepada kemajuan. Oleh hal yang sedemikian itu, wajar bagi kita mempertahankan kemerdekaan ini dan mengimbau balik sejarah kemerdekaan negara agar kita tidak lupa pengorbanan perjuangan kita untuk mencapai kemerdekaan.
Jikalau kita lihat hal ini, sejarah memberi kita satu naratif penting bahawa perjuangan kemerdekaan penting untuk kemajuan bangsa kita. Namun demikian, sejarah bukan setakat melahirkan semangat patriotik sahaja. Hal ini kerana sejarah juga penting dalam pelbagai perkara.
Mengenal Hari Ini
Sejarah membawa apa-apa yang ada pada hari ini. Sarjana sejarah British, iaitu Eric Hobsbawn pernah menyatakan bahawa “the past was the model for the present and future”.
Hal sedemikian ini menunjukkan masa lepas itu yang membentuk hari ini dan masa akan datang. Tanpa masa lepas, kita tidak mungkin mencapai apa-apa yang kita capai hari ini atau apa-apa yang kita ada hari ini. Kemajuan Sarawak hari ini merupakan iltizam anak watan masa lepas.
Ia bermula dengan usaha pemimpin awal kita seperti Dato Stephen Kalong Ningkan, Temenggung Jugah, Abang Mustapha, Tuanku Haji Bujang, Ling Beng Siew dan ramai tokoh lain yang ingin membebaskan Sarawak daripada penjajah British. Selepas merdeka pula, dirancangkan pelbagai usaha pembangunan negeri Sarawak.
Hasil usaha mereka ini membawa kepada pembentukan Yayasan Sarawak, Empangan Batang Ai, Universiti Malaysia Sarawak, Hub Halal Tanjung Manis, Pan Borneo dan pelbagai lagi yang mampu kita rasa dan lihat hari ini. Manakala perancangan Ketua Menteri, Abang Johari pula akan membawa lembaran baharu untuk Sarawak dalam pembangunan ekonomi digital.
Oleh sebab itu, apa-apa yang kita ada hari ini hasil perjuangan pemimpin-pemimpin ini untuk mengubah landskap Sarawak yang mundur pada zaman penjajah kepada senario yang jauh lebih maju hari ini.
Pelajaran Masa Lampau
Masa lampau banyak mengajar kita tentang kehidupan dan kemajuan. Hal ini kerana kehidupan di bawah penjajahan asing tidak membawa kita ke arah kemajuan sempurna. Hanya sedikit kemudahan pembangunan diberikan kepada penduduk dijajah.
Penduduk tempatan dilatih dalam pendidikan hanya menjadi pembantu pihak penjajah. Bagi penduduk tempatan untuk mencapai kemajuan lebih tinggi, agar sukar kerana peluangnya terhad.
Malahan, bangsa dijajah perlu mengikut arahan daripada penjajah untuk meneruskan kehidupan mereka. Hal ini sedemikian kerana kehadiran penjajah ini mempunyai motif untuk kepentingan mereka daripada memberi kelebihan di bumi mereka jajah. Oleh sebab itu, suara-suara membantah dan tuntutan bangsa dijajah akan ditekan seperti berlaku sejak zaman Brooke hingga ke British.
Hal ini boleh dilihat dengan perjuangan Rentap dan Sharif Masahor yang tidak mahu dijajah, telah ditekan oleh pihak Brooke. Begitu juga nasib penduduk tempatan zaman Jepun yang terpaksa akur dengan pihak Jepun. Circular No. 9 yang dikeluarkan oleh British pula menyekat kegiatan berpolitik dalam kalangan kakitangan kerajaan di Sarawak.
Perkara sebegini merupakan contoh jelas bahawa kita tidak mahu mengulang semula perkara yang tidak mendatangkan kebaikan kepada kita.
Memahami Pemikiran
Sejarah juga mengajar kita memahami pemikiran seseorang atau masyarakat. Tindak-tanduk seseorang atau kerajaan mempunyai motifnya sendiri.
Penghasilan novel Melati Sarawak oleh Rakawi Yusof bukanlah sastera semata-mata, tetapi adalah pemikiran golongan menengah Melayu pada zaman Brooke. Mereka menyuarakan pandangan mereka menerusi novel itu dan seterusnya menggunakan akhbar Fajar Sarawak bagi menyedarkan orang Melayu tentang masalah mereka.
Begitu juga pembentukan parti-parti politik awal di Sarawak pada tahun lewat 1950-an dan awal 1960-an menunjukkan pemikiran pemimpin Sarawak kita itu ingin menjaga kebajikan dan menuntut kemerdekaan untuk semua kaum di Sarawak.
Oleh sebab itu, sesuatu peristiwa atau kejadian ini berpangkalkan pemikiran seseorang untuk mencorak naratif masa depan mereka. Mereka mempunyai motif dan tujuan tersendiri bagi memajukan bangsa dan tanah air.
Pemikiran Kritis
Dalam aspek pemikiran ini juga, kita boleh melihat bahawa sejarah membawa seseorang itu berfikiran kritis terhadap sesuatu perkara.
Usaha Jepun untuk membantu menyelamatkan bangsa Asia daripada penjajahan Barat dalam Perang Dunia Kedua misalnya, hanyalah slogan. Jepun hanya menggunakan kesempatan di sebalik slogan ini untuk mendapat sokongan daripada penduduk tempatan di Sarawak. Apabila mereka berkuasa, mereka pula menjadi tuan kepada bangsa Asia seperti apa yang berlaku di Sarawak.
Oleh sebab itu, sejarah mempertajamkan pemikiran kita tentang sesuatu perkara yang tidak hanya melihat satu sudut sahaja, tetapi mendalami motif sebenar seseorang atau pihak tertentu dalam perbuatannya terhadap sesuatu perkara.
Tanpa pemikiran mendalam ini, kita mudah dipengaruhi oleh berita tidak benar seperti sering berlegar di media sosial hari ini. Malahan, pemikiran kurang masak kepada sejarah juga memutarbelitkan fakta sebenar tentang sejarah untuk kepentingan golongan tertentu.
Sedar Tentang Warisan
Satu lagi perkara yang membawa kepada kepentingan sejarah adalah, ia menyedarkan kita tentang warisan kita. Walaupun kita hari ini menempuh kemajuan, tetapi warisan ketara dan tidak ketara itu perlu dipilihara agar kita tidak hilang jati diri.
Hal-hal ini boleh dilihat dalam seni bina rumah dahulu yang unik seperti Rumah Tinggi Orang Melanau dan Baruk Orang Bidayuh yang mempunyai makna tersendiri dalam pembinaannya. Warisan ini menunjukkan kita juga bangsa bertamadun dan kaya dengan hasil warisan dalam budaya tinggi.
Selain itu, pembinaan kapal dan perahu dengan pelbagai nama, seperti balok, bangkong dan bandung juga ialah seni warisan budaya tinggi orang kita. Kenderaan air inilah menjadi nadi yang memajukan kejayaan penduduk Sarawak dalam sektor perdagangan, perikanan dan pengangkutan.
Manakala warisan tidak ketara boleh dilihat dari segi seni mempertahankan diri, perubatan, adat, cerita rakyat, aturan hidup dan lagu-lagu tradisi. Oleh sebab itu, kita sebagai rakyat Sarawak bangga bahawa kita mempunyai warisan ini yang masih lagi ada sehingga sekarang.
Hari ini warisan-warisan ini mampu menjana dan memacukan sektor pelancongan bagi negeri dan negara kita.
Memberi Inspirasi
Salah satu lagi perkara yang boleh kita lihat dari aspek sejarah ini adalah, ia memberi inspirasi kepada kita tentang sesuatu perkara.
Pejuang kita dahulu berani berhadapan kuasa asing yang lebih kuat daripada mereka dan sanggup menerima risiko daripada pihak penjajahan. Hal ini kerana mereka tidak mahu dijajah oleh mana-mana pihak. Hari ini, medan berlainan kerana kita akan ketinggalan jikalau tidak berani mencuba atau masuk ke gelanggang kemajuan ekonomi global yang pesat. Oleh sebab itu, semangat keberanian pejuang kita dahulu harus menjadi inspirasi kita untuk menempuh kemajuan global hari ini.
Semangat kental rakyat Sarawak dalam Perang Dunia Kedua pula menunjukkan mereka mampu mengharungi masalah perang, kekurangan makanan dan pakaian. Mereka mencipta pelbagai perkara untuk kelangsungan kehidupan. Hal ini juga menjadi inspirasi kita bahawa dalam keadaan serba kekurangan, tetapi masih mampu hidup pada zaman pendudukan Jepun.
Pengajaran sejarah menjadi pedoman kepada kita menempuh pelbagai kemajuan yang pantas di dunia hari ini.
Secara umumnya, perbincangan wacana ini hanyalah sebahagian kecil sahaja kepentingan sejarah yang dapat dipaparkan. Apa-apa yang dapat saya simpulkan dalam wacana ini adalah apa-apa yang kita buat pada masa lepas akan membentuk kita hari ini, dan apa yang kita buat hari ini akan membentuk masa depan.
# Dr Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Sejarah, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, Universiti Kebangsaan Malaysia.