Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Sejarah berdarah di Limbang, cubaan tolak pembentukan Malaysia
  • KOLUMNIS

Sejarah berdarah di Limbang, cubaan tolak pembentukan Malaysia

Utusan Sarawak 5 hours ago

LIMBANG merupakan salah sebuah bandar yang terletak di utara Sarawak.  Ia merupakan bandar yang bersebelahan antara dua wilayah Brunei. 

Bandar ini nampak sunyi dalam lipatan sejarah Sarawak tetapi ia mempunyai sejarah tersendiri sejak menjadi sebahagian dari Sarawak. 

Perkembangan bandar ini dikaitkan dengan kawasan Daerah Limbang itu sendiri yang mempunyai pelbagai kaum mendiaminya.

Sejak abad ke-19 lagi Daerah Limbang telah mengukir sejarah sendiri apabila berlaku penentangan terhadap pemerintahan Brunei. 

Akhirnya ia diambil oleh Charles Brooke untuk menjadi Limbang sebagai sebahagian dari Sarawak. Selepas itu bandar dan Daerah Limbang ini dalam kedudukan aman dan damai walaupun ada isu tuntutan Brunei ke atas wilayah ini.

PEMIMPIN utama Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU), A. M. Azahari. Gambar fail

Pada 1962, nama bandar dan Daerah Limbang kembali lagi bergema apabila berlaku sekali lagi pergolakan bersenjata di daerah tersebut. Kejadian berdarah ini muncul pada 8 Disember 1962. 

Tahanan

Residen British di Limbang iaitu Richard Morris mengetahui wujud satu usaha mengadakan kebangkitan di Brunei sejak November 1962.

Pada awal Disember 1962, kebimbangan Morris semakin bertambah tentang kemungkinan kekacauan akan berlaku di utara Sarawak. 

Beliau menyampaikan hal ini kepada ibu pejabat di Kuching. Dikatakan maklumat daripada Morris ini tidak sampai ke perkhidmatan risikan tentera British di Singapura. 

Semasa di Brunei pada 6 Disember 1962 Morris sempat memaklumkan hal ini kepada Persuruhjaya Tinggi British, Lord George Nigel Douglas-Hamilton, Earl Selkirk ke-10.

Namun demikian, pihak British nampaknya tidak melakukan tindakan yang cepat kerana pada awal pagi 8 Disember 1962 pihak pemberontak menyerang bandar Limbang. 

Morris bersama isterinya juga telah ditangkap dan ditahan di penjara. Turut ditangkap dan ditahan adalah Inspektor Polis, Abang Zain Abang Latif, Latif Bin Basah dan seorang jurutera iaitu King Shih Fan (Patrik King). 

Tiga anggota polis juga telah ditangkap dan ditahan dalam penjara.

Tiga orang mubaligh Kristian Katolik dan seorang anak muda dari Peace Corps Amerika Syarikat bernama Fritz Klattenhoff juga menjadi orang tahanan pihak pemberontak.

Sementara itu empat anggota pasukan polis terkorban dalam kejadian serangan pihak TNKU.

Mereka yang terkorban adalah Kopral Kim Huat, Bujang Mohammad, Wan Jamaluddin Tuanku Alek dan Insol Chundang.

Ketika itu Limbang bukan satu-satu bandar mengalami kekacauan kerana pemberontakan juga berlaku di Bandar Brunei, Miri dan Seria serta Kuala Belait.

Gerakan

Pemberontakan yang berlaku di Limbang termasuk di Brunei ini digerakkan oleh Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU). 

Matlamat utama TNKU ini adalah membentuk negara merdeka dengan mengabungan tiga wilayah iaitu Brunei, Sarawak dan Sabah.

Hal ini telah dinyatakan oleh pemimpin utama mereka A. M. Azahari di Manila pada 9 Disember 1962. Terdapat tiga perkara dinyatakan oleh Azahari dalam sidang akhbar di Manila.

Pertama membentuk negara kesatuan meliputi Brunei dan dua wilayah jajahan British iaitu Sarawak dan Sabah.

Kedua menyatakan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri, manakala Zaini Ahmad sebagai menteri ekonomi. 

Ketiga pula beliau meminta Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), U Thant untuk campur tangan dalam hal ini.

Tambahan daripada itu, Azahari memaklumkan bahawa dirinya sendiri akan ke New York untuk membentangkan kes mereka di pertubuhan antarabangsa tersebut.

Politik

Kejadian pemberontakan di Limbang serta beberapa bandar lain di Sarawak, Sabah dan Brunei telah mencetuskan reaksi dalam kalangan parti-parti politik di Sarawak.

Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menegaskan bahawa parti tersebut tidak terlibat dalam pemberontakan berkenaan.

Sementara itu, Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) meminta SUPP memberikan penjelasan berhubung kunjungan Setiausaha Agung SUPP, Stephen Yong, ke Konsul Jeneral Indonesia di Jesselton (kini Kota Kinabalu) sebelum berlakunya pemberontakan.

Pada ketika itu, Azahari turut berada di pejabat konsul jeneral tersebut.

SUPP mengalami kesan daripada pemberontakan ini. Ini kerana beberapa orang ahli dalam kalangan orang Dayak dalam parti tersebut telah meninggalkan atau tidak mahu menjadi ahli parti tersebut. 

Ini kerana mereka melihat SUPP mempunyai hubungan dengan Parti Rakyat Brunei yang dipimpin oleh Azahari.

Tuai Rumah Muling yang merupakan Pengerusi SUPP cawangan Betong menyatakan mereka tidak lagi menjadi ahli SUPP kerana dasar SUPP yang menentang kerajaan.

Pada masa sama, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dalam kenyataannya mengalu-alukan tindakan kerajaan British di Sarawak untuk menangkap anggota pertubuhan komunis di Sarawak. SNAP juga mengalu-alukan pengharaman tiga surat khabar berbahasa Cina di Sarawak.

Tindak Balas

Penawanan Limbang oleh TNKU memberi reaksi balas cepat dari pihak British. Pihak British menghantar Royal Marine Commandos dari Komando 42 ke Limbang.

Operasi menawan Limbang ini diketuai oleh Kapten Jeremy Moore. Operasi ini bermula pada 12 Disember 1962, dan pada peringkat awal tentera British ini ditempatkan di Lawas.

Dari Lawas mereka menggunakan bot menuju ke Limbang. Setiba mereka di Limbang pada jam 5.30 pagi, Sarjan Smith, melalui pembesar suara, telah meminta pihak pemberontak supaya menyerah diri. 

Namun demikian saranan ini disambut dengan penentangan bersenjata.

Dalam pertempuran tersebut seramai lima anggota tentera dari pihak British terkorban. Mereka yang terkorban adalah Sarjan Walter Grant Macfarlane, G. Kierans, Frederick S. Powell, Ronald David Formoy dan Richard Jennings.

Seramai enam orang anggota keselamatan British pula mengalami kecederaan dalam pertempuran tersebut.

Pertempuran sengit ini berakhir dengan kejayaan pihak British menawan bandar Limbang. Tebusan yang ditawan oleh pihak TNKU telah dibebaskan. 

Sejarah berdarah di Limbang ini merupakan satu peristiwa yang cuba menolak pembentukan Malaysia. 

Namun demikian rancangan mereka ternyata dapat digagalkan kerana tidak mendapat sokongan besar daripada penduduk tempat. 

Akhirnya beberapa pemimpin dan pengikut TNKU telah menyerah kalah dan akur dengan pendirian majoriti penduduk Sarawak menyokong Malaysia.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: AirBorneo memiliki potensi jauh lebih luas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.