
KUCHING merupakan ibu negeri Sarawak yang telah terbentuk sejak awal abad ke-19. Pembentukannya hasil usaha Pengiran Mahkota yang membawa pengikutnya terdiri dari kalangan orang Melayu ke Sarawak untuk mentadbirSarawak.
Terdirinya Kuching sebagai pusat pentadbiran, seterusnya membawa kepada pembangunan perdagangan dan kemajuan sosial di bandar tersebut. Kemajuan ini membawa kedatangan ramai penduduk sekitar Sarawak ke Kuching.
Orang Cina juga mula bertapak di Kuching dan mendirikan gedung-gedung peniagaan mereka. Apabila Kuching diambil alih oleh James Brooke, perkembangan Kuching semakin dimajukan.
Hubungan awal terjalin dengan Singapura sebelum kedatangan James Brooke diteruskan dan ini membawa kemajuan pesat bandar berkenaan. Kesannya membawa kemasukan pelbagai kaum ke Sarawak yang membentuk masyarakat kosmopolitan.
Orang India Muslim mula bertapak di Kuching yang membawa barang dagangan berupa kain, rempah ratus dan hiasan pakaian. Perkembangan pesat Kuching tidak sunyi daripada masalah terutama berlaku kes kebakaran bandar tersebut.

Namun hal ini tidak mematikan semangat warga Kuching untuk maju. Beberapa bangunan moden mula muncul di Kuching seperti masjid, gereja dan pejabat-pejabat kerajaan serta pasar.
Perkembangan ini juga membawa kepada pembangunan dalam pentadbirannya. Kuching asalnya diperintah secara langsung oleh kerajaan Brooke. Dalam hal ini kerajaan Brooke menyerahkan tugas pentadbiran bandar ini kepada Jabatan Kerjaraya Awam. Jabatan ini bertindak seumpama majlis perbandaran, tetapi perkara ini mula berubah pada 1921.
Pentadbiran
Pada 1921, pengurusan bandar Kuching distrukturkan semula apabila The Kuching Sanitary and Municipal Advisory Board diwujudkan. Badan ini menjadi pihak berkuasa tempatan untuk mentadbir bandar ini.
Pada 1 Januari 1934 ‘Municipal Authority for Kuching’ mengantikan badan yang ditubuhkan sebelum itu. Peranan ‘Municipal Authority’ ini semakin besar dengan perkembangan bandar Kuching.
Pada 1941, kerajaan Sarawak memikirkan untuk memberi status perbandaran kepada lembaga ini. Namun usaha ini gagal dilaksanakan kerana tentera Jepun menduduki Sarawak.
Selepas perang dunia tamat, pihak kerajaan British yang mengambil alih Sarawak mula memikirkan cadangan sebelum perang untuk memperkasakan lembaga pentadbiran Kuching.
Ini kerana tugas dan peranan majlis ini semakin mencabar yang memerlukan sebuah badan berkuasa yang mampu menangani perancangan dan masalah-masalah yang timbul di bandar tersebut.
Naik taraf
Namun usaha untuk memperkasakan pihak berkuasa di Kuching agak lambat dilakukan. Hanya pada 1949, Gabenor Sarawak meminta pengerusi Lembaga Bandaran Kuching untuk menyediakan kertas kerja bagi menukarkan status kuasa lembaga mengurus bandar ini.

Majlis Bandaran Kuching yang pertama. Beliau kemudian adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelima dari 1986 sehingga meninggal dunia pada 2000.
Perkara yang diminta oleh gabenor tersebut adalah satu maklumat mendalam tentang kemampuan badan tersebut untuk menampung kewangan sendiri dan mampu untuk mengurus hal ehwal sendiri.
Penelitian tentang hal ini akhirnya pihak kerajaan British bersetuju untuk memberi kuasa autonomi kepada majlis bandaran Kuching. Hal ini berlaku pada 1 Januari 1953.
Majlis Bandaran yang diwujudkan ini mempunyai 24 ahli. Majlis ini diketuai oleh seorang Pengerusi dari kalangan pegawai Barat.
Pengerusi ini dilantik oleh gabenor. Gabenor juga mempunyai kuasa untuk melantik enam ahli majlis daripada pelbagai kaum dan mempunyai kepentingan di bandar Kuching.
Selebih ahli majlis ini pula terdiri daripada wakil-wakil dicadangkan oleh persatuan yang menjaga kepentingan kaum-kaum tertentu seperti masyarakat Cina, Melayu, Ceylon, Dayak dan British.
Pilihan raya
Sejajar dengan usaha untuk memperkenalkan demokrasi di Sarawak, Majlis Bandaran Kuching menjadi ujian awal untuk melaksanakan pilihan raya di Sarawak.
Arahan mengadakan pilihan raya di Majlis Bandaran Kuching dikeluarkan oleh gabenor kepada pengerusi majlis tersebut. Yang menariknya arahan yang dikeluarkan oleh gabenor pada Januari 1956 telah dapat dilaksanakan pada 4 November 1956.
Pilihan raya itu membuka peluang kepada beberapa calon untuk bertanding menjadi wakil beberapa kerusi dalam majlis tempatan tersebut. Selepas tamatnya pilihan raya itu, majlis baharu ini mula beroperasi pada 1 Disember 1956.
Tempoh ahli-ahli majlis ini berkhidmat hanyalah tiga tahun. Dalam peraturan baharu majlis ini menyatakan bahawa pengerusi dan naib pengerusi hendaklah dipilih oleh ahli majlis dalam kalangan ahli majlis tersebut.
Perkembangan ini menunjukkan satu pembaharuan dilakukan dalam Majlis Bandaran Kuching. Pengerusi dan naib pengerusi hanya mempunyai tempoh setahun sahaja untuk menyandang jawatan tersebut tetapi mereka boleh dipilih semula.
Pengerusi pertama yang dipilih dalam majlis ini ialah William Tan, manakala Ahmad Zaidi Adruce sebagai naib pengerusi pertama.
Kelewatan
Proses pemilihan ahli menerusi pilihan raya ini menampakkan satu kejayaan dan ia kembali diadakan pada 1959. Pilihan raya ketiga bagi Majlis Bandaran itu pula berlangsung agak lewat iaitu tujuh bulan lambat daripada tarikh yang sepatutnya.
Kelewatan ini disebabkan berlakunya perubahan perlembagaan negeri. Ini sejajar dengan usaha kerajaan British mengadakan pilihan raya serentak dan bersama dengan majlis bandaran dan luar bandar yang lain.
Salah satu ciri penting dalam pilihan raya yang diadakan pada Jun 1963 ini adalah penyertaan parti-parti politik buat kali pertamanya. Tiga parti besar yang bertanding dalam pilihanraya pertama ini ialah Parti Bersatu Rakyat Malaysia, Parti Negara Sarawak dan sebuah gabungan parti pro-Malaysia iaitu Perikatan Sarawak.
Keputusan pilihan raya itu menunjukkan bahawa keahlian majlis ini dikuasai oleh ketiga-tiga parti tersebut, manakala calon bebas pula gagal memenangi sebarang kerusi.
Perkembangan sejarah ini menunjukkan bahawa Kuching merupakan satu bandar yang maju. Ia berkembang menjadi sebuah bandar yang cukup bertenaga, kalis cabaran dan mampu meneroka pembaharuan.
Hal ini boleh dilihat dengan perkembangan dalam pelbagai aspek dalam kehidupan bandar tersebut. Hari ini Kuching tetap berdiri kukuh dan megah sebagai ibu negeri Sarawak yang berstatus bandar raya.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.