PADA zaman Brooke, perhubungan penduduk Sarawak masih lagi bergantung kepada jalan sungai dan laut. Tidak banyak berlaku pembangunan jalan raya di Sarawak pada era Brooke. Apa yang berlaku hanyalah pembangunan jalan raya di bandar dan pekan di Sarawak terutama di Kuching, Sibu dan Miri. Perkembangan ini berlaku kerana pengenalan kenderaan darat seperti kereta, lori dan bas di Sarawak.
IBU KOTA
Sebagai ibu negeri Sarawak, Kuching menjadi tumpuan pembangunan jalan raya oleh kerajaan Brooke. Belanjawan untuk menyelenggara jalan-jalan ini telah diperuntukkan setiap tahun. Pada 1930 jumlah perbelanjaan untuk menyelenggara membina jalan raya di Kuching berjumlah$207,802.81. Pada tahun berikutnya jumlah itu berkurangan kepada $169,230.26. Usaha menyelenggara dan membina jalan ini meliputi kawasan bandar Kuching sendiri untuk jalan sepanjang 253 batu dan di luar bandar Kuching meliputi jalan sepanjang 271 batu.
Kos untuk menyelengara jalan di Kuching semakin mengecil pada 1936 dengan hanya menelan belanja sebanyak $64,180 sahaja, manakala jalan di Kuching dan sekitarnya meliputi jalan berturap dan tidak berturap. Kos penyelengaraan jalan di Kuching semakin menurun pada 1938 dengan hanya membelanjakan sebanyak $33,029.
JALAN ANTARA BANDAR
Kerajaan Brooke pada akhir 1920-an mempunyai hasrat untuk menghubungi Kuching dengan Simanggang. Usaha ini dimulakan dengan membina jalan raya dari Kuching ke Serian. Pada 24 September 1930, Jalan Kuching-Serian dibuka untuk kenderaan. Panjang Jalan Kuching-Serian kira-kira 40 batu. Idea untuk menghubung Kuching dengan Simanggang ini membawa pula rancangan untuk menghubungkan Kuching-Sibu.
Pada 1931 usaha memanjangkan jalan dari Serian (Srian), Sungai Sadong ke Genting Rasso telah dilakukan dan panjang jalan tersebut adalah 46 batu. Pada 1936 Jalan Kuching-Serian telah ditutup untuk aliran lalu lintas bagi meneruskan usaha melengkapkan pembinaan jalan tersebut. Jalan Kuching-Serian ini diselenggarakan dengan kos berjumlah $28,836.
Pembinaan jalan raya ini juga membawa kepada pembinaan beberapa jambatan untuk merentasi sungai di Sarawak. Dalam hal ini dua jambatan telah dibina di Serian. Pembinaan jalan raya ini melibatkan penggunaan teknologi moden dari barat dengan pengenalan kereta beroda enam buatan Morris Commercial dan traktor jenama Caterpillar.
KEPENTINGAN EKONOMI
Antara motivasi dalam pembangunan jalan raya di Sarawak ini adalah kerana keperluan ekonomi. Dalam hal ini tinjauan dilakukan untuk membina jalan raya ke Selantek yang merupakan kawasan pengeluar arang batu di Sarawak. Tinjauan ini mengenal pasti jalan boleh dibina dari Sungai Sadong menerusi laluan antara Slabi dan Gunung Ampungan ke Selantek.
Selain itu atas keperluan ekonomi juga pada 1930 telah dibina Jalan Repok baharu di Sarikei. Jalan ini akan memudahkan usaha mengangkut hasil pertanian komersial ke Sarikei. Ini kerana terdapat estet getah dan kebun lada di kawasan pedalaman Sarikei. Dengan pembinaan jalan raya ini memudahkan usaha membawa hasil tanaman komersial menggunakan kenderaan berat seperti lori ke bazar Sarikei.
Tujuan serupa juga berlaku di Binatang (Bintangor) apabila jalan dirancang untuk menghubungi kawasan penempatan orang Cina yang teletak di pedalaman. Perancangan ini melibatkan usaha menghubungi jalan sedia ada dengan Sungai Tulai dan Selalo.
PEKAN KECIL
Walaupun faktor ekonomi menjadi asas penting dalam pembangunan jalan raya di Sarawak tetapi pengenalan kenderaan darat seperti kereta juga menjadi pertimbangan dalam membangunkan pengangkutan jalan raya di Sarawak.
Hal ini dilaporkan pada 1931 apabila jalan raya juga dibangunkan bagi pekan kecil seperti Lundu. Pembinaan jalan raya ini memudahkan kenderaan ringan untuk bergerak di pekan tersebut sehingga ke Sungai Selang. Panjang jalan raya ini hanyalah 151 batu. Keseluruhan jalan di Lundu ini adalah sehingga ke Sungai Rayu.
Pada 1936 usaha dibuat untuk membina jalan tanah dari Sungai China, Lundu ke Tanjung Umbong, Sibu Laut telah dilakukan. Usaha ini menampakkan satu kemajuan dalam pembinaan jalan raya menghubungi Lundu tetapi kualiti jalan masih lagi rendah.
PERHUBUNGAN NEGARA JIRAN
Pembinaan jalan raya di Sarawak juga bertujuan untuk menghubungi negara jiran seperti pada 1932 apabila pembinaan jalan raya dari Limbang ke Brunei. Pembinaan jalan raya ini mendapat kerjasama dari kerajaan Brunei. Setakat 1932, Sarawak tidak mempunyai jalan utama dan perancangan hanya tertumpu dengan pembinaan jalan Kuching-Simanggang.
Namun demikian pembinaan jalan ini terhenti pada 1938 dan hanya menumpukan pembinaan jalan Kuching-Serian. Usaha pembinaan jalan tersebut diteruskan kemudiannya untuk membina jambatan baharu dan memeriksa jambatan lama. Jalan berturap di Sarawak pada 1932 tidak banyak. Jalan berturap kelas pertama hanyalah sepanjang 24 batu, manakala jalan berturap kelas kedua pula adalah 77 batu. Selebih jalan yang dibina iaitu 305 batu adalah jalan yang tidak berturap dan merupakan jalan tanah sahaja.
Kualiti jalan raya di Sarawak pada 1935 masih tidak berubah dengan jumlah perbatuan untuk jalan yang berturap untuk kelas pertama dan kedua adalah sama. Jalan tidak berturap pula hanya sepanjang 306 batu. Pada 1938, pembinaan jalan raya di Sarawak bertambah kepada 684 batu dengan kos penyengaraan meningkat kepada $97,959.
Sehingga awal 1940-an, pembangunan jalan raya pada zaman Brooke boleh dianggap tidak menunjukkan kesungguhan dari pihak kerajaan. Walaupun ada hasrat besar menghubungi Kuching dengan Simanggang dan Sibu tetapi usaha ini sering terbantut. Hal ini menyebabkan jalan menerusi sungai dan laut masih menjadi nadi utama dalam perkembangan pentadbiran, sosial dan ekonomi di Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).