
ISU minyak Sarawak saban hari semakin banyak diperkatakan. Terbaharu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengandungi sebarang peruntukan mengenai pemilikan dan pengawalseliaan minyak dan gas.
Kenyataan tersebut telah mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak di Sabah dan Sarawak. Warganet pula meluahkan rasa tidak puas hati mereka dan melemparkan pelbagai kenyataan negatif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hanya memberi ulasan ringkas tetapi penuh makna iaitu tunggu keputusan mahkamah. Pendirian sama turut dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof apabila beliau diajukan pertanyaan yang sama.
Dalam wacana ini saya tidak akan mengulas isu ini tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah mengenai kenyataan beberapa pemimpin Sarawak menyentuh tentang sejarah minyak dan Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak (OMO) apabila membalas hujahan menteri tersebut.

Ramai mungkin tidak mengenali apa itu OMO. Namun, jangan salah faham tentang OMO, terutamanya dalam konteks generasi Baby Boomer, Generasi X, dan Generasi Y.
Ketiga-tiga generasi ini selepas Perang Dunia Kedua mempunyai pengertian tersendiri tentang OMO, dan hal ini boleh ditanya terus kepada mereka. Ternyata, ada lagi maksud OMO yang lebih mendalam, khususnya dalam usaha mempertahankan hak milik minyak di Sarawak.
Minyak
Sebelum ada OMO 1958 ini, Sarawak tidak mempunyai satu undang-undang khas tentang penguasaan dan operasi minyak. Minyak telah dijumpai di Sarawak sejak abad ke-19 lagi di sekitar kawasan Miri.
Namun galian ini hanya popular apabila industri kereta diperkenalkan pada lewat abad ke-19.
Memasuki abad ke-20, Sarawak bersama-sama dengan pengeluar minyak yang lain mula memperdagangkan hasil minyak ke pasaran global.
Ia bermula pada 1910 apabila syarikat Anglo Saxon Petroleum Company yang kemudiannya menjadi anak syarikat Shell diberi kebenaran oleh kerajaan Brooke mengusahakan pengeluaran galian tersebut.
Dalam hal ini kerajaan Brooke telah memberi kontrak perjanjian kepada syarikat minyak Shell pada 9 Mac 1909. Selepas itu diperbaharui pada 27 April 1921 dan 1923.

Sejak itu Shell menguasai minyak Sarawak dan membangunkan bahan galian itu yang secara tidak langsung menyumbang pembangunan ekonomi Sarawak. Aktiviti Shell terhenti seketika apabila Jepun menawan Sarawak pada 1941.
Syarikat ini kembali beroperasi apabila tamatnya Perang Dunia Kedua. Sejak awal penglibatan mencari gali minyak di Sarawak, beberapa eksplorasi mengali kawasan daratan dan seterusnya laut dilakukan untuk mencari minyak.
Pembaharui
Namun demikian perjanjian pada 1923 tamat pada 30 Jun 1946. Oleh itu dilakukan rundingan baharu antara kerajaan British di Sarawak dengan Shell. Rundingan tersebut hanya berlaku pada 1948.
Antara perkara disentuh dalam perjanjian baharu ini melibatkan pajakan selama 30 tahun kepada syarikat minyak tersebut. Pajakan ini boleh disambung semula untuk tempoh 30 tahun lagi.
Syarikat tersebut juga perlu membayar royalti minyak sebanyak 10 peratus ad valorem. Sebelum ini berdasarkan perjanjian dengan kerajaan Brooke pada 1909, menetapkan pembayaran royalti sebanyak 1d bagi setiap tan.
Bayaran ini dinaikkan pada perjanjian 1921 dengan bayaran sebanyak 2s 6d bagi setiap tan.
Walaupun perjanjian ini menampakkan keuntungan bagi pihak kerajaan British tetapi terdapat perkara menyentuh tentang royalti minimum.
Syarikat akan membayar royalti minimum sebanyak £10,000 setahun bagi menggantikan keperluan dalam perjanjian sedia ada yang menetapkan pengeluaran minimum sebanyak 120,000 tan minyak mentah bagi setiap tempoh tiga tahun.
Terdapat pula pemintaan dari syarikat minyak tersebut untuk memohon pengecualian cukai eksport minyak. Sebelum ini iaitu pada era pemerinatahan Brooke menerusi Perkara 12 dalam perjanjian 1909, syarikat minyak tersebut mendapat hak pengecualian tersebut dengan ganti bayaran sebanyak £5,000 setiap tahun.
Tetapi kerajaan British menyatakan hak tersebut bersifat sementara sahaja, dan perlu dilakukan perubahan.
Perjanjian pajakan ini dimeteriai pada 23 Jun 1952 yang mengubah beberapa cadangan awal tentang royalti minyak. Dalam Perjanjian Pajakan Perlombongan Minyak itu menyatakan bahawa royalti akan dibayar berdasarkan Klausa 18(3) yang menyatakan bahawa “nilai bagi tujuan royalti hendaklah dikira dengan cara yang boleh ditentukan dari semasa ke semasa melalui persetujuan antara Gabenor dan Penyewa (syarikat)…”
Pengenalan
Pada lewat 1950-an, pegangan mutlak Shell ini mula berubah berdasarkan perjanjian tersebut. Pada asalnya mereka diberi hak luas ke atas minyak di seluruh Sarawak termasuk juga pelantar benua.
Secara beransur-ansur syarikat minyak tersebut menurut penjanjian pajakan melepaskan pegangan sebanyak 75 peratus atas tanah di Sarawak.
Dalam hal ini, kerajaan British mula memikirkan untuk bertindak ke atas perubahan ini. Mereka merasakan agar satu undang-undang perlu diperkenalkan untuk mengawal dan menyelaras pemberian lesen eksplorasi minyak, pajakan minyak dan apa-apa sahaja perkara tentang minyak di Sarawak.
Pada 1958, rang undang-undang OMO dibentangkan. Dalam pembentangan rang undang-undang minyak ini, Setiausaha Kewangan Sarawak menyatakan bahawa rang undang-undang ini meliputi lima perkara.
Perkara pertama adalah membincangkan perkara umum seperti cara permohonan boleh dibuat, penetapan lesen atau pajakan, kaedah membuat permohonan untuk penyerahan, dan pemberian lesen kepada orang asing.
Perkara kedua adalah membincangkan lesen penerokaan minyak. Perkara ketiga pula membincangkan lesen prospek minyak. Perkara seterusnya adalah pajakan perlombongan minyak.
Perkara terakhir pula adalah mengandungi peruntukan pelbagai, termasuk peruntukan untuk Gabenor dalam majlis untuk memberi lesen penerokaan dan prospek minyak serta pajakan perlombongan bagi pelantar benua.
Secara keseluruhannya tulisan ini berdasarkan dokumen yang didapati dari Arkib Nasional di London. Catatan dokumen ini hanya sedikit sahaja maklumat tentang minyak dan OMO dalam sejarah Sarawak.
Banyak lagi dokumen tersimpan di London yang boleh diguna pakai oleh kerajaan Sarawak untuk kemajuan Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.