
ASAJAYA: Seramai 200 individu yang menerima manfaat kebajikan bulanan di Kota Samarahan menerima sumbangan sempena majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 di Masjid An-Najah, hari ini.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan serta membantu meningkatkan taraf hidup mereka.
“Setiap penerima menerima bantuan wang tunai berjumlah RM100 dan hamper bernilai RM80.
“Secara keseluruhannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak memperuntukkan RM1.61 juta bagi membantu seramai 16,118 penerima di seluruh negeri, termasuk 2,436 penerima di Bahagian Samarahan,” jelasnya.



Pada majlis sama, tiga individu turut menerima bantuan perubatan khas.
Suria Saji dari Kampung Sambir menerima bantuan rawatan dialisis berjumlah RM29,600 setahun manakala Aulia Syalmia Abdullah dari Kampung Belimbing Besi, Sebuyau pula diberikan alat sokongan S.W.A.S.H bernilai RM3,769.
Sementara itu, Shasya Nurizzati Akma Alwi Abdullah dari Kampung Bilis, Sadong Jaya menerima 36 tin susu Peptigro bernilai RM2,605 serta alat sokongan ‘Bilateral Solid Ankle Foot Orthosis and Child CP Standing Frame’ bernilai RM3,250.
Fatimah turut menekankan kepentingan bantuan kewangan bulanan ini dalam memenuhi keperluan asas penerima, termasuk makanan, pendidikan anak-anak, kos rawatan serta perbelanjaan khas seperti susu dan lampin pakai buang.
Majlis turut dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Timbalan Pengarah JKM Sarawak Norhayati Abdul Rahman, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad. – UKAS