Sehelai daun nyirik, sebungkus kelupis mengubat rindu

Facebook
WhatsApp
WARISAN…Maswati Sisa menunjukkan kelupis daun nyirik dan sambal tahai keluaran jenama Qurattu. Foto Norman B

KOTA SAMARAHAN: Sehelai daun nyirik mungkin tampak biasa, namun apabila membalut kelupis, di dalamnya tersimpan aroma tradisi, rasa kampung dan rindu yang membawa ingatan jauh ke utara Sarawak.

Bagi Maswati Sisa atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Mas, daun nyirik menjadi ‘jiwa’ kepada kelupis yang dihasilkannya menerusi jenama Qurattu.

WARISAN…Antara variasi kelupis daun nyirik keluaran jenama Qurattu yang mengetengahkan cita rasa tradisional. Foto Norman B

Di tangannya, daun itu bukan sekadar pembungkus, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha mempertahankan rasa warisan agar terus dikenali dan dinikmati generasi hari ini.

Kecintaan Maswati terhadap makanan tradisional bukan hadir dalam sehari. Beliau membesar sebagai anak kampung, memasak menggunakan dapur kayu dan menjalani kehidupan sederhana ditemani dengung penjana elektrik.

Kelupis pula cukup dekat dengan kehidupannya, menjadi antara rasa yang mengingatkannya kepada kampung halaman serta tradisi masyarakat Kedayan, Melayu dan Lun Bawang.

ANEKA…Pelbagai produk makanan tradisional keluaran Qurattu termasuk kelupis, tapai dan sambal tahai dipamerkan untuk pilihan pelanggan. Foto Norman B

Meninggalkan kampung halaman seawal usia 17 tahun membawa Maswati mengenali dunia yang lebih luas. Perjalanan daripada kehidupan desa kepada dunia perniagaan bukan mudah, namun kasih terhadap keluarga, kepercayaan masyarakat dan keinginan menjaga warisan menjadi kekuatan untuk terus melangkah.

“Daun nyirik memberi rasa yang sangat unik kepada kelupis dan agak sukar didapati di Kuching. Ia lebih popular di Lawas, Limbang, Brunei dan kawasan lain di Borneo.

“Setakat ini, kalau orang sudah makan sekali, mereka akan datang lagi. Saya mempunyai pelanggan yang menikmati kelupis kami sejak 14 tahun lalu dan masih kekal sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak baru-baru ini.

SAMBAL TAHAI…Sambal tahai keluaran Qurattu antara produk yang melengkapkan sajian kelupis dengan cita rasa tersendiri. Foto Norman B

Di bawah jenama Qurattu, Maswati menghasilkan kelupis asli yang boleh dinikmati bersama pelbagai pilihan seperti sirap gula apong, madu, kari, kuah kacang dan rendang.

Bagi mereka yang mahukan rasa berbeza, tersedia kelupis sambal udang dan sambal tahai, selain kelupis ubi, manakala daun nyirik turut digunakan dalam penghasilan tapai.

Maswati mengakui pada awalnya pernah terselit kebimbangan sama ada makanan tradisional seperti kelupis masih mampu mencari tempat dalam selera generasi muda.

Namun, keraguan itu perlahan-lahan terpadam apabila produknya dibawa ke pelbagai acara dan mendapat perhatian golongan belia yang mahu mengenali serta mencuba kelupis.

Paling menyentuh hatinya apabila bertemu pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta institusi pengajian sekitar Samarahan yang berasal dari utara Sarawak.

Bagi mereka, kelupis bukan sekadar makanan. Melihat bungkusannya sahaja sudah cukup membangkitkan kenangan terhadap kampung halaman.

“Bila mereka nampak kelupis, mereka kata rindu itu sudah terubat hanya dengan melihatnya, apatah lagi apabila dapat merasainya,” katanya.

Justeru, di sebalik usahanya mencari rezeki, terselit harapan agar makanan tradisional itu terus hidup dan tidak sekadar menjadi kenangan generasi terdahulu.

Berkongsi pesan kepada wanita yang mahu mencuba bidang perniagaan, Maswati percaya rezeki tidak semestinya perlu dicari terlalu jauh kerana adakalanya peluang sudah tersedia di sekeliling sendiri.

“Tengok belakang rumah, tengok tepi rumah. Jangan kata tidak ada. Sebenarnya benda asas itu ada di sekeliling kita, tinggal lagi kita mahu atau tidak mahu mencuba.

“Kalau kita cuba dan gagal, bangun dan bangun lagi sehingga kita boleh buat,” katanya.

Daripada dapur kayu di kampung kepada dunia keusahawanan, daripada sehelai daun nyirik kepada sebungkus kelupis, Maswati membuktikan warisan tidak semestinya tinggal sebagai kenangan.

Selagi ada tangan yang mahu membungkusnya dan generasi yang mahu merasainya, rasa lama itu akan terus hidup membawa bersama aroma tradisi, rezeki dan rindu terhadap kampung halaman.

Oleh Norman B

Hari ini milik kita

MASA bergerak tanpa menunggu sesiapa. Detik yang baru sahaja kita lalui tidak mungkin dipanggil kembali, sedangkan hari esok belum tentu